Tiada niat hina Islam, jelas MIC


Tangkap layar video majlis pecah tanah bangunan baru MIC yang tular di media sosial. Video itu memaparkan seorang lelaki disyaki beragama Islam mengimami bacaan doa di sebuah majlis disertai upacara keagamaan lain. – 24 Ogos 2023.

MIC tidak berniat untuk menghina atau memperolok-olokkan agama Islam, kata ketua penerangannya R. Thinalan, selepas parti itu dikecam teruk oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan Muslim susulan insiden bacaan Al-Fatihah semasa majlis pecah tanah bangunan baru parti itu beberapa hari ini.

Thinalan menjelaskan rakaman video majlis berkenaan yang tular di media sosial telah difahami di luar konteks.

“MIC sebuah parti politik yang mewakili masyarakat India tanpa mengira fahaman agama. Majlis pecah tanah untuk bangunan baru kompleks ibu pejabat MIC adalah sebuah mercu tanda perjalanan parti dan masyarakat India.

“Seperti yang kita semua maklum, masyarakat India ada yang beragama Hindu, Islam, dan Kristian. Kami adakan majlis doa untuk projek bangunan ini berjalan lancar. Selain doa agama Hindu, kami juga anjurkan doa oleh penganut Islam dan Kristian kerana ada juga India Muslim dan India Kristian.

“Majlis doa ini untuk acara pecah tanah. Niat kami suci dan tiada ada niat untuk memperolok atau menghina,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan juga dilapor berkata doa agama Islam dan Kristian dibaca pada majlis itu kerana “MIC parti untuk semua agama”.

“Bagaimana ahli parti yang beragama Islam dan Kristian menyertai majlis itu kalau ia berjalan dengan hanya satu acara keagamaan satu agama saja?” tanyanya.

Majlis itu disertai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi Barisan Nasional.

Ketua Penerangan MIC R Thinalan berkata parti itu dianggotai masyarakat India pelbagai agama. – Gambar Facebook, 24 Ogos 2023.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata ia menyiasat pembacaan Al-Fatihah pada majlis pecah tanah itu.

Siasatan itu bagi memastikan amalan tersebut tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa yang sedang berkuat kuasa, kata Jawi.

“Sebarang kesalahan yang berhubung akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 599, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan semalam.

Susulan rakaman yang tular, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan insiden membaca Al-Fatihah di majlis itu tidak sepatutnya berlaku walaupun atas faktor perpaduan dalam meraikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya di Malaysia.

“Kepercayaan, amalan dan ritual serta prinsip setiap keagamaan mesti dibezakan dengan sama sekali tidak dicampur-aduk,” kata ketuanya Ahmad Yahya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga menggesa pihak berkuasa agama menyiasat insiden itu segera.

“Jangan mengelirukan umat Islam dan juga jabatan berwajib perlu tangani perkara ini dengan kadar segera,” kata pertubuhan itu. – 24 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen