MIC akan kumpul dana daripada ahli laksana program parti 


Presiden MIC S.A Vigneswaran menggalakkan ahli dalam kalangan usahawan untuk mendukung perjuangan parti itu dari segi bantuan kewangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2023.

MIC akan mengumpul dana daripada kalangan ahli untuk membiayai programnya bagi memastikan parti itu dapat terus bergerak dan menguatkan akar umbinya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presidennya S.A Vigneswaran berkata usaha itu bertujuan memastikan parti berkenaan tidak hanya bergantung kepada dana yang disalurkan pihak luar dalam membantu rakyat khususnya kaum India.

“Saya telah beritahu semua ketua cawangan bahawa kita kena kutip dana daripada ahli-ahli MIC lingkungan RM50 ke RM100, untuk memastikan parti kita tidak bergantung kepada pihak lain untuk menjalankan program,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC Selangor di Shah Alam hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi MIC Selangor MB Raja.

Beliau turut menggalakkan ahli MIC dalam kalangan usahawan untuk mendukung perjuangan parti itu dari segi bantuan kewangan.

“Hal ini adalah usaha bagi memastikan kerja sosial yang dijalankan MIC  tidak tergugat walaupun kita tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan,” katanya.

Vigneswaran pada masa sama berkata MIC kekal memberi sokongan kepada kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara. – Bernama, 15 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen