PRK Pulai: MIC gerak 3,000 jentera bantu calon Pakatan


MIC akan mengerakkan jenteranya bagi membantu kemenangan calon PH Suhaizan Kaiat dalam PRK Parlimen Pulai pada 9 September ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

MIC akan mengerakkan jenteranya membabitkan kira-kira 3,000 ahli bagi memberi sokongan dan membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, pada 9 September ini.

Naib Presiden MIC M Asojan berkata, terdapat 20,508 atau 12.31% pengundi India di Parlimen Pulai yang signifikan untuk membantu kemenangan calon yang mewakili gabungan PH-Barisan Nasional (BN) itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui undi masyarakat India bukan penentu atau ‘king maker’ dalam pilihan raya itu, jika undi masyarakat Melayu atau Cina berpecah.

“Kalau nak kata kita ‘king maker’ secara terbuka tidak boleh kerana ini adalah PRK dan keputusan akan bergantung pada peratusan keluar mengundi. Mana-mana kaum sekiranya jumlah peratusan mengundi mereka rendah, ia akan menjejaskan keputusan nanti.

“Namun, jumlah pengundi India adalah signifikan dan kita akan berusaha memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada mereka keluar mengundi pada 9 September ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu komuniti India di Pejabat Persekutuan Persatuan-Persatuan India Berdaftar Negeri Johor (GAPPIN) di Johor Bahru malam ini.

Berhubung sokongan yang ditunjukkan masyarakat India di Parlimen itu terhadap Suhaizan, Asojan berkata beliau yakin sokongan padu akan diberikan berikutan komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu menangani masalah kaum itu dalam masa setahun termasuk soal kemiskinan.

“Memang ada rasa tidak puas hati dalam beberapa perkara termasuk isu baru-baru ini, ia memang menjadi keraguan dan kemusykilan dalam kalangan jentera MIC, tetapi Presiden MIC SA Vigneswaran sudah beri penerangan agar kita terus menyokong kerajaan perpaduan.

“Ini kerana janji yang diberikan oleh perdana menteri sendiri (kepada masyarakat India) iaitu beliau akan pastikan permasalahan dan perkara berbangkit berkaitan masyarakat India diambil kira, beliau minta tempoh setahun jadi kita percaya janji beliau,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, Anwar dilapor akan mengkaji permintaan MIC agar wakil daripada parti itu dapat diberi peranan lebih besar dalam kerajaan. – Bernama, 31 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen