Laluan LRT Kelana Jaya dijangka capai kekerapan 3 minit hujung bulan ini


LRT Laluan Kelana Jaya dijangka mencapai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dijangka mencapai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung bulan ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) ketika ini kekerapan tren adalah 3.8 minit pada waktu puncak berbanding 4.4 minit pada Disember 2022 berikutan pengoperasian tiga tren baharu di laluan itu bermula bulan lepas.

“Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) melaksanakan beberapa usaha untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan tren. Tiga tren empat gerabak (bagi laluan Kelana Jaya)memulakan operasi pada September 2023.

“Baki 16 tren lagi akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024 di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27),” menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Bagi laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang pula, MOT memaklumkan penggantian roda tren sedang dilaksanakan dan kekerapan tren pada waktu puncak disasar akan bertambah baik dari enam minit kepada empat minit pada hujung Januari 2024.

Selain itu kementerian memaklumkan Prasarana sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang termasuk program khas bagi membaik pulih komponen tren yang kerap mengalami masalah.

“(Antara masalah itu) penukaran tayar tren dan aktiviti penyelenggaraan yang berfokuskan kepada punca kegagalan tren semasa operasi untuk meningkatkan ketersediaan tren,” menurut MOT. – Bernama, 23 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen