Kementerian Pengangkutan pantau aduan penumpang MYAirline


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya akan memastikan hak pengguna dilindungi berhubung penggantungan operasi MYAirline. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pengangkutan memantau rapi sebarang aduan dan isu yang dibangkitkan oleh penumpang yang terjejas akibat penggantungan perkhidmatan penerbangan ditawarkan oleh MYAirline kata Anthony Loke.

Dalam satu kenyataan, menteri pengangkutan berkata kementeriannya akan memastikan hak pengguna dilindungi.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, 125,000 penumpang terjejas berikutan penggantungan ini.

“Bagaimanapun, MYAirline memberi jaminan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia ia akan menunaikan janjinya untuk membayar balik kepada setiap pelanggannya,” kata Loke.

Loke kemudian memberi jaminan yang Mavcom, pengawal selia syarikat penerbangan, akan terus memantau keadaan demi kepentingan awam.

“Kementerian Pengangkutan melalui Mavcom akan mengutamakan pengguna dan MYAirline sudah memberi jaminan ia akan menangani setiap aduan dan akan mula membayar balik penumpang,” tambahnya.

Terdahulu, MYAirline mengeluarkan kenyataan mengatakan ia membuat “keputusan amat menyakitkan” disebabkan tekanan kewangan yang memaksanya menggantung operasi, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Mavcom mengarahkan MYAirline membayar balik pelanggan yang terjejas oleh penggantungan syarikat penerbangan itu.

 Dalam satu kenyataan, Macvom menegaskan MYAirline masih bertanggungjawab membayar balik pengguna yang sudah membeli tiket dengan syarikat penerbangan itu tetapi tidak dapat melakukan perjalanan. – 12 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen