SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan syarikat penerbangan tambang murah MYAirline yang menggantungkan operasinya bermula hari ini supaya membantu para pengguna yang terjejas.
Bantuan segera ini termasuk membayar balik duit tiket bagi penumpang yang terkandas susulan keputusan mereka menggantung operasi, kata MAVCOM.
“Suruhanjaya ingin menekankan bahawa MYAirline bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik kepada pengguna yang telah membeli tiket dengan syarikat penerbangan tersebut tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan,” kata MAVCOM dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, MAVCOM juga mengarahkan MYAirline supaya menghentikan segera penjualan dan tempahan tiket penerbangannya di semua platform tempahan sehingga notis lanjut.
“MAVCOM sedang berhubung rapat dengan MYAirline bagi menangani isu ini,” kata suruhanjaya itu.
MAVCOM juga mengarahkan MYAirline segera memaklumkan para pengguna mengenai penggantungan operasinya serta menerbitkan pengumuman mengenainya melalui semua saluran komunikasi mereka yang sedia ada.
MAVCOM juga menyediakan saluran-saluran aduan khasnya seperti berikut:
• Hotline pengguna: +1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (luar negara)
• E-mel: [email protected]
• Borang aduan FlySmart: https://flysmart.my/buat-aduan/
Pengguna juga boleh membuat aduan melalui aplikasi mudah alih FlySmart, kata MAVCOM.
Awal hari ini, MYAirline dalam satu kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.
MAVCOM juga memaklumkan ia sedang menyiasat MYAirline termasuk berhubung dakwaan tidak melunaskan pembayaran statutori hasil aduan daripada para pekerjanya.
Bayaran statutori pekerja merangkumi antaranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan potongan berjadual Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Minggu lepas Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo meletak jawatan minggu lepas atas sebab kesihatan.
Media pula semalam melaporkan MYAirline dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi dari Sarawak iaitu Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari, yang juga anak kepada Premier Sarawak.
Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata MYAirline perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada Kementerian Pengangkutan menerusi Mavcom sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan kepadanya.
MYAirline yang diasaskan pada 2021 melancarkan penerbangan pertamanya pada Disember 2022.
Ia beroperasi dengan sembilan pesawat jenis Airbus A320, dengan 80% daripada penerbangannya melibatkan sektor domestik iaitu antara klia2 dan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau, Sibu, Miri, Kota Bahru, Langkawi dan Pulau Pinang.
Baki 20% adalah penerbangan ke dua lapangan terbang antarabangsa di Bangkok.
Sejak 21 Ogos lepas MYAirline menghentikan penerbangan sektor Sibu dan Miri serta mengurangkan penerbangan ke beberapa sektor lain. – 12 Oktober 2023.
Komen