Lantikan wakil Sarawak dalam Mavcom, bantu selesai isu penerbangan negeri


PELANTIKAN Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Alice Jawan Empaling selaku Ahli Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan dapat membantu menyelesaikan isu penerbangan di dalam negeri ini. 

Menterinya Lee Kim Shin berkata dengan mempunyai wakil dalam Mavcom, semua isu boleh dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat suruhanjaya itu.

“Diharap dengan pelantikan ini Mavcom akan memahami keperluan kami.  Sebelum ini kami tidak mempunyai wakil di dalam suruhajaya itu dan kadang-kadang ada jurang komunikasi antara Mavcom dan Sarawak,” katanya.

Lee memuji pelantikan itu dan berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana menerima cadangan untuk pelantikan itu yang dibuat ketika perjumpaan mereka awal tahun ini. 

Adun Senadin itu berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat Terminal Penumpang Bot Ekspres di Sibu hari ini dan mengagihkan jaket  keselamatan kepada tiga pengendali bot laju yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan di laluan Sibu-Daro dan Sibu-Dalat. 

Beliau juga diberikan taklimat oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) mengenai projek yang akan dilaksanakan di Zon Tengah untuk kawasan di Sibu, Sarikei, Bintangor dan Kapit.

Lee berkata sungai-sungai di Sarawak masih memainkan peranan penting dalam pengangkutan kargo pukal kerana ia menawarkan pilihan yang lebih murah dan menjimatkan selain daripada menyediakan kaedah perhubungan alternatif  kepada mereka yang tinggal di sepanjang Hulu Sungai Rajang, kawasan pesisir pantai dan mereka yang menghuni kawasan yang masih tiada jalan raya. 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 SRB akan melaksanakan lapan projek dengan jumlah kos siling sebanyak RM45.28 juta di Zon Tengah.

Empat daripada projek itu di bawah projek infrastruktur dan empat lagi projek di bawah Keselamatan Pengangkutan Sungai. 

“Projek-projek itu termasuk memperbaiki kemudahan yang rosak dan pembinaan kemudahan tambahan di terminal penumpang di Zon Tengah,” katanya.

Mengenai jumlah penerbangan untuk sambutan Aidilfitri, Lee berkata kementerian itu membincangkan perkara ini dan meminta syarikat penerbangan untuk meningkatkan jumlah penerbangan semasa musim perayaan dan cuti sekolah. – Bernama, 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen