Tiada bukti faktor fisiologi dalam nahas Elmina, kata Kementerian Pengangkutan


Noel Achariam

Laporan mendapati tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan dalam nahas Elmina. – Gambar Facebook, 15 September, 2023.

TIADA bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan dalam nahas pesawat 17 Ogos berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, kata Kementerian Pengangkutan.

Dalam laporan awal mereka mengenai nahas itu, kementerian juga berkata PIC (pilot in command) mempunyai lesen dan layak melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

“Pesawat itu mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan diselenggara mengikut peraturan.

“Kejadian berlaku pada waktu siang dengan jarak penglihatan yang jelas dan keadaan meteorologi yang baik,” mengikut laporan disiarkan itu.

Pada 17 Ogos, sebuah pesawat persendirian terhempas di Bandar Elmina, mengorbankan 10 orang – dua kru, enam penumpang, seorang penunggang motosikal serta seorang pemandu kereta.

Antara yang maut ialah Exco Pahang Johari Harun.

Kementerian Pengangkutan berkata kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud kuasa pecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

Mereka juga berkata penemuan tambahan, punca dan faktor penyumbang akan dimasukkan dalam laporan akhir.

Bagi cadangan keselamatan, kementerian berkata ia akan dimasukkan dalam laporan akhir.

Ia berkata laporan itu mengandungi kenyataan fakta dan penemuan awal yang dikenal pasti sehingga masa laporan diterbitkan.

“Laporan awal ini harus dianggap tentatif, dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan.

“Laporan akhir akan disiapkan selewat-lewatnya pada Ogos 2024 mengikut ICAO Annex 13 yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan untuk melengkapkan dokumen itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian juga menambah yang analisis awal rakaman CVR (perakam suara kokpit) yang berjaya diperoleh memberikan petunjuk penting untuk mendedahkan punca kemalangan.

Kata mereka, ia adalah fokus kepada sistem kawalan penerbangan pesawat.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan yang belum selesai bagi bahagian dan komponen pesawat berkaitan di makmal NTSB (Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat) dan OEM (pengilang peralatan asal) adalah perlu untuk memberikan kolaborasi dan/atau bukti muktamad dalam menentukan punca kemalangan itu.” – 15 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen