Pakar keselamatan penerbangan AS bantu siasatan nahas pesawat Malaysia


Pasukan penyiasat Amerika Syarikat yang terdiri daripada 12 anggota itu membantu mencari petunjuk di tapak nahas pesawat di Bandar Elmina, Selangor yang mengorbankan 10 orang.– Gambar EPA, 21 Ogos, 2023.

PAKAR keselamatan penerbangan Amerika Syarikat hari ini membantu mencari petunjuk di tapak nahas pesawat Malaysia berhampiran ibu negara yang mengorbankan 10 orang.

Pesawat Beechcraft Model 390 terhempas dan meletup di jalan raya di Bandar Elmina, Selangor, pada Khamis.

Kesemua lapan orang di dalam pesawat - enam penumpang dan dua kru penerbangan - serta dua orang awam yang melalui jalan empat lorong itu terbunuh, menurut polis.

Penyiasat dari Biro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan pengeluar pesawat dilihat mencari serpihan di lokasi nahas.

“Mereka sudah berada di sini pagi ini,” kata Ketua Polis Shah Alam Mohamad Iqbal Ibrahim kepada AFP.

Pasukan AS yang terdiri daripada 12 anggota itu turut menerbangkan dron di atas tapak nahas.

Perakam suara kokpit (CVR) pesawat telah ditemui dan sedang dianalisis oleh penyiasat kemalangan udara Malaysia.

CVR merekodkan apa yang berlaku di kokpit, termasuk perbualan terakhir kru penerbangan dan bunyi lain.

Seperti beberapa pesawat kecil lain, pesawat itu tidak mempunyai perakam data penerbangan, kata Ketua Polis Malaysia Razarudin Husain pada Jumaat.

Pesawat itu berlepas dari Langkawi dan sedang menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Selangor ketika nahas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata pesawat itu telah diberi kebenaran untuk mendarat tetapi “membelok ke kanan laluan penerbangan pendaratan” sebelum ia terhempas.

Pada September 1977, sebuah pesawat Japan Airlines yang menuju ke Singapura terhempas berhampiran lokasi yang sama. Nahas itu mengorbankan 34 daripada 79 penumpang dan anak kapal.– AFP, 21 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen