Kerajaan perluas subsidi tiket kapal terbang 


INISIATIF subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 kini diperluaskan kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelajar matrikulasi serta institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan subsidi tiket penerbangan itu yang bermula hari ini membabitkan laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Buat masa ini, pelajar yang layak hanyalah pelajar yang berdaftar di politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga sesi akademik 2022/2023 serta belum menamatkan pengajian selepas sesi akademik tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT pelajar yang layak boleh memilih membuat permohonan bantuan subsidi tiket penerbangan itu daripada mana-mana syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines termasuk MASwings dan FireFly, AirAsia, Batik Air dan MYAirline melalui laman sesawang syarikat penerbangan berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika mengumumkan inisiatif berkenaan pada 12 Julai lepas berkata subsidi itu akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam membabitkan kos berjumlah kira-kira RM16.8 juta. Ketika itu, ia hanya ditawarkan kepada pelajar universiti awam.

MOT memaklumkan semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman sesawang MOT di (https://subsidiudara.mot.gov.my/) dan sekiranya didapati tidak layak, mereka disarankan membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing.

Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember 2023 dan pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

Menurut MOT setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

“Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya,“ menurut MOT.

Inisiatif subsidi penerbangan itu merupakan antara usaha kerajaan perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – Bernama, 6 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen