40% doktor seluruh negara pernah dibuli, kata kaji selidik


– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2023.

KIRA-kira 40% doktor di negara ini pernah dibuli, hasil kaji selidik yang dijalankan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Kaji selidik itu melibatkan 728 doktor kerajaan dan swasta yang dijalankan bermula 15 September 15 hingga 1 Oktober lalu.

Ia mengesan 253 kes buli dengan paling banyak dilaporkan di Sarawak sebanyak 15 kes diikuti Selangor (sembilan) dan Perak (lapan).

“Namun 197 lagi kes tidak diketahui negeri mana. Sabah dan Melaka disahkan tiada kes buli,” menurut hasil kaji selidik itu.

Disebut dalam kaji selidik itu, mangsa tidak membuat laporan kerana takut atau tidak tahu saluran untuk membuat laporan dan jika dilaporkan sekali pun, kurangnya tindakan lanjut.

Ia turut menambah perbuatan buli itu memberi kesan kepada doktor di semua peringkat dengan 168 daripadanya adalah pegawai perubatan sementara itu 50% doktor pelatih dan pakar yang mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut turut melaporkan perkara sama.

Seramai 476 doktor yang mengambil bahagian dalam kaji selidik merupakan pegawai perubatan, 207 lagi pakar dan perunding sementara 46 doktor pelatih.

Jurucakap JDN MMA Loke Xi Mun berkata 59% doktor muda dengan kurang dua tahun pengalaman dilaporkan bekerja lebih daripada jam yang dijadualkan setiap hari.

“Angka itu menurun dengan adanya pengalaman tapi 51% doktor yang ada pengalaman 10 tahun masih melaporkan mereka terpaksa bekerja lebih masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya.

Sementara Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz melahirkan kebumbangan terhadap hasil dapatan kaji selidik itu.

“Keletihan fizikal dan emosi boleh menyebabkan penurunan kepuasan dalam pekerjaan, lemah dalam membuat keputusan dan penurunan kualiti penjagaan yang diberi,” katanya.

Azizan juga berkata doktor yang keletihan melampau mungkin akan membuat kesilapan perubatan, berhenti kerja dan memburukkan lagi keadaan kekurangan profesional dalam penjagaan kesihatan.

“Apabila kita bercakap tentang kesihatan mental doktor, kita bukan sahaja menyentuh soal kebimbangan individu tetapi juga impak secara langsung kepada kesihatan serta kesejahteraan seluruh masyarakat,” katanya. – 15 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen