Majoriti pengguna Malaysia anggap beli dalam talian menjimatkan, kata kaji selidik


Kaji selidik oleh Shopee Marketplace juga mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia masih membeli secara dalam talian walaupun premis fizikal telah dibuka berikutan tabiat terbabit yang telah sebati atau menjadi satu kelaziman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2022.

SATU kaji selidik menunjukkan lebih 70 peratus kalangan pengguna Malaysia menganggap transaksi belian harian secara dalam talian terbukti memberi penjimatan secara konsisten melebihi 5.0 peratus.

Ekonomi yang tidak menentu merupakan alasan utama kalangan responden terbabit menghargai setiap nilai ringgit yang mampu disimpan dengan masing-masing 50 peratus mengakui keperluan mengurangkan perbelanjaan, 14 peratus tidak memperoleh pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan asas, 10 peratus mengunjurkan terpaksa berbelanja besar pada bulan-bulan akan datang dan 6.0 peratus mempunyai pelbagai tanggungan.

Dapatan tersebut didedahkan dalam kaji selidik Meraikan Jiwa Malaysia Menerusi e-Dagang 2022 (Celebrating the Heart of Malaysia on E-Commerce) oleh Shopee Marketplace bagi tempoh 19 Julai-17 Ogos, 2022, dengan maklum balas secara sukarela diperoleh daripada masing-masing 3,356 pembeli dan 2,132 penjual Malaysia di platform terbabit.

“Apa yang menarik, tidak semua pembeli mengutamakan diskaun dan baucar. Sebanyak tujuh daripada 10 pembeli Malaysia misalnya lebih menghargai aspek ‘ketenangan fikiran’ berbanding harga rendah,” kata Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia Kenneth Soh dalam kenyataan hari ini.

Malah, kaji selidik itu menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 rakyat Malaysia masih membeli secara dalam talian walaupun premis fizikal telah dibuka berikutan tabiat terbabit yang telah sebati atau menjadi satu kelaziman.

Majoriti menghargai keutamaan berfikiran tenang dengan 40 peratus mengakui selesa dapat menerima penghantaran ke rumah manakala 17 peratus berasa selamat dengan Shopee Guarantee dan 10 peratus tertarik dengan ulasan dan gambar reviu pembeli lain.

Sebanyak 49 peratus pembeli menyifatkan Shopee sebagai destinasi beli-belah paling selesa bagi pembelian pelbagai produk gaya hidup, termasuk barangan hiasan dalaman kediaman, pakaian serta produk kesihatan dan kecantikan.

“Perkongsian pengguna Malaysia yang menghargai keutamaan beli-belah secara dalam talian hanya membolehkan kami untuk memahami bagaimana lapan daripada 10 penjual Malaysia (memilih) memulakan perjalanan jualan secara dalam talian dengan Shopee.

“Kami juga terharu apabila mengetahui bahawa separuh daripada penjual tempatan dalam kaji selidik itu menyifatkan pendapatan menerusi platform terbabit sebagai amat penting untuk membolehkan mereka menyara keluarga masing-masing,” kata Soh. – Bernama, 29 Ogos, 2022.              



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen