Perancangan kurang baik punca orang ramai bersesak di KLCC, menurut laporan


PERANCANGAN yang kurang baik menyebabkan orang ramai beratur untuk membayar saman trafik mereka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyebabkan mereka berisiko dijangkiti Covid-19, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidenya Dr Koh Kar Chai berkata perancangan yang betul sepatutnya dilakukan sebelum pihak berkuasa membuat pengumuman diskaun untuk saman trafik.

“Melihat kepada situasi ini, mereka sepatutnya membuat penambahbaikan terutama sistem pembayaran dalam talian. Meskipun pemberian diskaun amat dialu-alukan, pelaksanaan sistem sangat lemah tanpa memikirkan risiko kepada kesihatan orang ramai.

“Kerajaan sepatutnya menyekat dan bukannya menggalakkan orang ramai berkumpul, oleh itu pembayaran dalam talian menjadi pilihan terbaik,” kata Dr Koh kepada Free Malaysia Today.

Menurut laporan itu, portal MyBayar Saman polis dan sistem dalam talian MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tergendala disebabkan terlalu ramai melayarinya untuk mendapatkan diskaun 80% yang ditawarkan ke atas saman mereka.

Dr Koh berkata polis trafik dan JPJ sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada bayaran saman secara dalam talian.

“Sekiranya terdapat isu dengan portal atau aplikasi, maka ia perlu diperbetulkan, diperbaiki dan diuji terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

Tambahnya mana-mana pusat berisiko menjadi penyebaran varian dengan pantas dan Malaysia juga perlu mengambil berat mengenai varian Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam mengumumkan kaunter di KLCC akan ditutup. JPJ sebaliknya berkata tempoh diskaun telah dilanjutkan kepada 15 Disember. Diskaun ke atas saman itu ditawarkan sebagai sebahagian daripada program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Gambar orang ramai bersesak itu menjadi viral dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran menerusi Twitter mempersoalkan mengapa kerajaan melabur dalam 5G sedangkan orang ramai masih perlu beratur semasa wabak.

“Mengapa melabur dalam 5G, sedangkan kerajaan masih membuat orang beratur dalam barisan untuk membayar saman mereka, semasa pandemik?” katanya.

Semalam, penganjur acara ‘100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia’ didenda RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Majlis itu dianjurkan oleh Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. – 11 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen