Jerebu memburuk, sekolah siap sedia pembelajaran atas talian


Angie Tan

Kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini semakin merosot dengan bacaan IPU mencecah 100. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.

SEKOLAH kini bersiap sedia untuk memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini semakin merosot dengan bacaan indeks pencemar udara (IPU) mencecah 100.

Prosedur operasi standard (SOP) jerebu semasa menyatakan sekolah perlu ditutup dan pelajar dikehendaki tinggal di rumah apabila bacaan IPU 200 dan ke atas.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dianggap “baik”, 51-100 “sederhana”, 101-200 “tidak sihat”, 201-300 “sangat tidak sihat” dan 300 dan ke atas “berbahaya”.

Dengan pengalaman yang diperoleh semasa pandemik Covid-19, Presiden Kesatuan Guru-Guru Besar Kebangsaan Malaysia, Chuah Soo Cheng berkata jika jerebu memaksa kelas bersemuka ditangguhkan semula, guru bersedia untuk kembali mengajar di atas talian.

“Tidak menjadi masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chuah berkata arahan semasa menyatakan walaupun pelajar tidak perlu ke sekolah jika bacaan IPU 200 dan ke atas, guru bagaimanapun masih perlu hadir ke sekolah masing-masing.

“Mereka hanya tidak akan ke sekolah apabila bacaan IPU 500 dan ke atas, katanya.

Beliau berkata pada masa ini kebanyakan kawasan mempunyai bacaan IPU di bawah 100 dan kawasan yang mempunyai bacaan 100 ke atas hanya perlu menghentikan aktiviti luar.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Guru Besar Sekolah Rendah Cina Chew Eng Hock berkata semua sekolah mematuhi arahan pencegahan jerebu Kementerian Pendidikan 2019.

“Ini bermakna jika IPU di bawah 100 semua aktiviti diteruskan seperti biasa. Jika melebihi 100 aktiviti di luar akan digantung dan jika mencapai 200, kelas mesti digantung dan ditukar kepada pembelajaran dalam talian,” katanya.

Beliau berkata pelajar juga diingatkan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan supaya memakai topeng pelitup muka jika mengalami masalah pernafasan, minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan aktiviti luar.

Beberapa sekolah mungkin ditutup dan memulakan sesi pembelajaran atas talian apabila bacaan IPU menceah 100. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.

Tadika juga bersiap sedia untuk penutupan wajib sekiranya jerebu semakin teruk.

Presiden Kebangsaan Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng memberitahu The Malaysian Insight bahawa jika mereka diberi pilihan, mereka lebih suka tadika tidak ditutup.

Penutupan pasti akan menyebabkan kehidupan berstruktur ibu bapa yang bekerja menjadi huru-hara.

Bagi mengimbangi potensi kehilangan pendapatan, Ng berkata banyak tadika kini turut menawarkan perkhidmatan jagaan harian.

“Lagipun ibu bapa masih perlu bekerja dan jika kami tutup ia akan menyusahkan mereka,” katanya.

Pada 7 Oktober Timbalan Menteri Pendidikan Lin Hui Ying berkata sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk dan Indeks Pencemaran Udara melebihi 200, sekolah boleh membuat keputusan untuk menutup sementara dan beralih kepada pembelajaran dalam talian tanpa menunggu kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau menggesa supaya sekolah sentiasa menyemak data API yang dikemas kini di laman web rasmi Agensi Alam Sekitar.

“Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan, tetapi mereka perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah,” kata Lin.

Memandangkan kualiti udara yang kurang baik, beliau turut menggesa ibu bapa untuk sentiasa memantau kesihatan anak-anak mereka dan mengurangkan aktiviti luar.

Salah seorang pakar cuaca terkemuka negara Fredolin Tangang memberi amaran jerebu rentas sempadan yang kini melanda Malaysia boleh menjadi lebih teruk terutamanya dari Disember hingga Mac tahun depan bagi Sarawak dan Sabah.

Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) itu sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight tahap keterukan akan bergantung kepada sama ada El Nino akan berada dalam kategori kuat atau tidak. – 11 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen