KPM benar tutup sekolah jika jerebu tambah buruk, tak perlu PPD lulus


Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian jika bacaan IPU melebihi 200. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

PIHAK sekolah boleh menutup sekolah tanpa menunggu kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya keadaan jerebu semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan menterinya Lim Hui Ying berkata pihak sekolah perlu sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar.

“Menurut garis panduan KPM dalam usaha menangani situasi jerebu, jika bacaan IPU melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan di sekolah manakala jika ia melebihi 200, sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian.

“Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan namun perlu memaklumkan kepada PPD,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew di George Town hari ini.

Tambahnya, pemakaian pelitup muka juga digalakkan di sekolah dan pelajar perlu minum air dengan cukup.

Selain itu, Lim turut menasihati ibu bapa agar sentiasa meneliti keadaan kesihatan anak-anak serta mengurangkan aktiviti di luar rumah memandangkan kualiti udara yang kurang baik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata setakat 9 pagi tadi tiga daripada empat stesen bacaan IPU di Pulau Pinang merekodkan kualiti udara yang amat baik.

“Saya percaya keadaan jerebu di negeri ini menunjukkan pengurangan kerana hujan yang turun beberapa hari kebelakangan ini.

“Namun, saya telah memberi arahan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk memantau jika terdapat peningkatan kes yang terlibat dengan sistem pernafasan akibat jerebu untuk pihak kami menyusuli dengan tindakan seterusnya,” katanya. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen