Guru disaran lebih kreatif ganti aktiviti kokurikulum 


Pihak sekolah perlu memikirkan alternatif lain yang boleh dijalankan oleh guru dan murid dalam usaha mengelakkan daripada terdedah dengan risiko kesihatan akibat jerebu ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

GURU-guru di sekolah di dalam kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat disarankan untuk lebih kreatif dalam pelaksanaan aktiviti menggantikan kokurikulum di luar bilik darjah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata pihak sekolah perlu memikirkan alternatif lain yang boleh dijalankan oleh guru dan murid dalam usaha mengelakkan daripada terdedah dengan risiko kesihatan akibat jerebu ketika ini.

“Aktiviti kokurikulum tidak semestinya perlu dijalankan di luar bilik darjah sahaja, malah semasa pandemik kementerian telah mengajar semua pihak menjadi lebih kreatif dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum yang tidak memerlukan guru dan murid berada di luar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Justeru, Fouzi mencadangkan pihak sekolah untuk mengaplikasikan semula aktiviti kokurikulum yang dilakukan semasa pandemik Covid-19, demi menjaga kesihatan warga sekolah terutama sekali para murid.

Aktiviti seperti pertandingan melalui rakaman video atau YouTube, latihan penulisan dan aktiviti membuat buku skrap merupakan antara perkara dilaksanakan untuk murid semasa pandemik yang boleh dijalankan semula dalam situasi jerebu kini.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman turut mengingatkan semua pihak untuk tidak menganjurkan aktiviti di luar terutamanya bagi sekolah yang berada dalam kawasan IPU tidak sihat.

“Mereka yang menganjurkan aktiviti luar melibatkan murid dan kanak-kanak perlu memantau bacaan IPU dan membatalkan aktiviti berkenaan serta-merta jika bacaan melebihi 100.

“Jerebu yang berlaku kini berupaya mencetuskan gangguan pernafasan terutama kepada golongan kanak-kanak kerana fungsi paru-paru dan sistem imun mereka yang belum cukup matang,” katanya.

Selain itu, Malina turut menasihati murid-murid yang berada di kawasan kualiti udara terjejas untuk memakai pelitup muka semasa berada di sekolah terutama di luar bilik darjah.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya akan dilaksanakan sekiranya sekolah ditutup jika bacaan IPU melebihi 200.

Beliau berkata pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau bacaan IPU sebelum membuat sebarang tindakan.

Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat semalam merekodkan tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU pada paras tidak sihat dengan Nilai, Negeri Sembilan kekal kawasan paling terjejas iaitu 157, manakala Cheras di ibu negara merekodkan IPU 155. – Bernama, 4 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen