Takut dengan kerajaan sukarkan pengumpulan data Pati, kata aktivis


Noel Achariam

Rata-rata pendatang asing tanpa izin takut dengan kerajaan kerana bimbang ditangkap dan diusir sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober.

AKTIVIS hak asasi manusia berkata ketakutan dan ketidakpercayaan terhadap kerajaan menyebabkan pihak berkuasa sukar mendapatkan data mengenai pendatang tanpa izin (Pati).

Mereka berkata kumpulan ini termasuk pelarian dan pencari suaka merasakan diri mereka mangsa gangguan, berdepan risiko ditangkap, penahanan dan pengusiran sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa.

Aktivis itu membangkitkan kebimbangan ini susulan Putrajaya berkata mereka sedang mendapatkan bantuan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memperoleh data mengenai Pati di negara ini.

Pengasas dan aktivis Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata jika kerajaan serius untuk memperkasakan pelarian, mereka mesti mengenakan moratorium ke atas serbuan imigresen.

“Kemudiannya mereka sepatutnya membenarkan UNHCR mempunyai akses ke pusat tahanan imigresen untuk menentukan dan mendaftarkan pelarian yang kini dalam tahanan.

“Tanpa sebarang inisiatif ini, saya tidak pasti bagaimana untuk merealisasikan hasrat kerajaan mendapatkan data daripada badan PBB,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bulan lepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia meminta kerjasama UNHCR untuk perkongsian data mengenai Pati bagi membantu menyediakan mereka mendapatkan pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.

Beliau berkata ini adalah selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia untuk mencari penyelesaian menyeluruh masalah pelarian.

Bagaimanapun terdapat jurang yang besar antara bilangan Pati dengan kerajaan dan UNHCR.

Saifuddin berkata kementeriannya hanya mendaftarkan 40,000 individu manakala rekod UNHCR menunjukkan 190,000 individu.

Mahi berkata bagi membolehkan Pati percaya dengan pihak berkuasa, kerajaan mesti membuktikan mereka serius mahu menyediakan pelarian pekerjaan, akses kepada pendidikan berstruktur dan penjagaan kesihatan yang berpatutan.

“Untuk merealisasikannya mereka mesti terlebih dahulu menghasilkan rangka kerja undang-undang walaupun belum meratifikasi Konvensyen Pelarian PBB 1951.

“Malah, kita sudah mempunyai rangka kerja undang-undang sedia ada iaitu IMM13 di bawah Akta Imigresen.

“Menteri Dalam Negeri hanya perlu menandatangani perjanjian untuk membolehkan pelarian bekerja. Ini kemudiannya boleh diperluaskan untuk merangkumi penjagaan kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Pemegang IMM13 dibenarkan tinggal di negara ini dan menerima faedah lain termasuk perkhidmatan perubatan dan akses kepada pendidikan.

Mahi juga berkata pentadbiran sebelum ini, ketika Hamzah Zainudin memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri ketika itu memperkenalkan Sistem Maklumat Pelarian Penjejakan (TRIS) dan mewajibkan semua pelarian mendaftar dalam sistem itu.

Ini katanya bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti lokasi pelarian dan juga memastikan sama ada mereka berada di sini untuk pekerjaan atau melarikan diri daripada penganiayaan.

“Pelarian dan pertubuhan masyarakat sivil bimbang dengan langkah ini kerana ia boleh menjadi muslihat untuk mengumpul data, satu proses yang akan menjadikan serbuan imigresen lebih mudah.

“Berikutan ini terdapat ancaman daripada kerajaan dan khususnya Majlis Keselamatan Negara untuk menutup UNHCR,” katanya.

Beliau menambah awal tahun ini kerajaan mengumumkan mereka akan mula mendaftarkan pelarian.

“Dan kini Saifuddin berkata mereka memerlukan data daripada UNHCR. Ini jelas kerana kerajaan tidak boleh mendaftar melebihi 40,000 orang. Saya tertanya-tanya bagaimana pendaftaran itu dijalankan pada mulanya?” – 2 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen