Jelajah ikon Madani bukan untuk berpolitik, kata J-KOM


Kata Agus, siri jelajah selepas ini akan ke universiti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta turut merancang ke Sabah dan Sarawak. – Gambar Facebook, 6 Mei, 2023.

JELAJAH Ikon Madani anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di enam universiti bukan medan berpolitik tetapi medium untuk menjelaskan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Malaysia Madani kepada mahasiswa.

Ketua Pengarahnya Mohammad Agus Yusoff berkata J-KOM dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) berperanan menjelaskan serta mempertahankan dasar kerajaan selain menghubungkan kerajaan dengan mahasiswa dan rakyat.

“J-KOM masuk ke universiti bukan untuk berpolitik. Kami datang ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau mana-mana universti lain selepas ini adalah untuk menjelaskan dasar kerajaan, Malaysia Madani bukan berkempen atau menyokong mana-mana parti. J-KOM tahu batas yang boleh dimainkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ikon Madani di Kampus UiTM Rembau, di Rembau, hari ini.

Mohammad Agus turut menyerahkan sumbangan termasuk bantuan tunai dan keperluan asas selain pemberian cermin mata percuma kepada 1,500 pelajar.

Katanya siri jelajah selepas ini akan ke universiti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta turut merancang ke Sabah dan Sarawak. – Bernama, 6 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen