Hutang Felda: Anwar sangkal kenyataan Muhyiddin


Anwar berkata memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan namun ia tidak dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyangkal kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka Felda.

Katanya sebagai menteri kewangan, beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lepas.

“Hari ini mantan perdana menteri (Muhyiddin) membuat kenyataan perdana menteri berbohong kerana perkara ini (hutang) sudah selesai sejak tahun 2021.

“Sekarang kamu kata dah selesai, saya baru tandatangan akhir Jun, Menteri kewangan tandatangan kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana…selesai di mana?” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan namun ia tidak dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional (PN) dan 2022 bawah PN tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. Saya kekal dengan rekod ini.

“Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya. – Bernama, 8 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen