Hasil siasatan agensi PBB boleh bantu semakan kes Najib, kata Shafee


Najib Razak dipenjara selama 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta atas pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram kerana secara haram menerima RM42 juta daripada SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

PASUKAN pembelaan Najib Razak boleh menggunakan hasil dapat kajian yang memihak kepadanya dikeluarkan Kumpulan Kerja tentang Penahanan (ccc) Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) dalam semakan terbaru Mahkamah Persekutuan berkaitan sabitan pendakwaannya, kata ketua peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Bercakap di sebuah forum di Kuala Lumpur malam tadi, Shafee berkata petisyen Najib terhadap jawatankuasa PBB bagi menyiasat perbicaraan yang didakwanya tidak adil dijangka akan dilengkapkan pada hujung tahun ini.

Katanya, perkara paling utama dalam petisyen Najib kepada UNWGAD serta permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah peguam Najib Hisyam Teh Poh Teik tidak dibenarkan untuk bersedia bagi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas.

Mahkamah menolak permohonan Hisyam bagi menagguhkan bicara selepas keputusan saat akhir Najib untuk menukar kumpulan peguam belanya.

Mahkamah tertinggi negara itu menerusi panel lima hakim kemudiannya mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi untuk memenjarakan Najib selama 12 tahun dan mendendanya sebanyak RM210 juta atas pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram kerana secara haram menerima RM42 juta daripada SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman pada 23 Ogos tahun lepas dan kini dipenjara di Penjara Kajang.

Permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan kemudiannya ditolak sekali lagi oleh satu lagi panel lima hakim pada Mac tahun ini.

Bercakap pada forum bertajuk “Town Hall for Justice - Keadilan Sebenarnya untuk Siapa”, Shafee berkata wujud kes terdahulu apabila hasil siasatan UNWGAD digunakan untuk semakan semula.

Katanya, siasatan memihak dibuat UNWGAD berjaya membantu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

“UNWGAD berkata itu adalah perbicaraan paling tidak adil yang Lula pernah ada. Jadi mereka memberi pandangan kuat yang digunakan oleh Lula bagi semakan kedua di Mahkamah Agung Persekutuan.

“Kita boleh gunakan apa yang Lula buat- memfailkan semakan kedua di Mahkamah Persekutuan.

“Hakim yang berada pada semakan pertama tidak boleh mendengar semakan kedua,” kata Shafee lagi, seperti dipetik akhbar The Star Online. – 1 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen