Mahkamah Persekutuan tolak rayuan akhir Najib


Ravin Palanisamy

Usaha terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk dibebaskan dari sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2023.

MAHKAMAH Persekutuan menolak usaha terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk dibebaskan dari sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel hakim mencapai keputusan majoriti 4-1 untuk menolak permohonan beliau untuk menyemak semula sabitan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat ketika menyampaikan keputusan itu berkata permohonan Najib dibuat tanpa merit.

Keputusan itu mengekalkan Najib di Penjara Kajang untuk menjalani baki tempoh pemenjaraan 12 tahun. 

Vernon berkata tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata panel Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan yang betul apabila menolak permohonan pemohon supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mengetuai panel.

Keputusan bertentangan itu dibacakan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu.

Anggota panel lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tengku Maimun menolak rayuan Najib untuk mengetepikan keputusan bersalahnya, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. 

Ong berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan semua hujahan dalam perbicaraan terdahulu, serta semua bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan melalui hujah mereka.

“Setelahetelah mempertimbangkan semua rekod, Mahkamah Persekutuan mendapati semua sabitan awal terhadap Najib adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap mantan perdana menteri itu tidak keterlaluan, dan oleh itu disahkan.

“Walaupun pemohon merasakan terdapat pelanggaran keadilan semula jadi dan penyalahgunaan proses mahkamah dalam keputusan mahkamah untuk mengekalkan keputusan sabitan dan hukuman beliau tahun lepas mungkin tulen, ini tidak boleh menentukan kesimpulan yang dibuat oleh panel yang mendengar permohonan semakannya.

“Dalam perkara ini, dengan hormatnya, kita dikekang untuk mengatakan pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri,” kata Ong.

Peguam utama Najib Muhammad Shafee Abdullah berhujah semakan semula kes adalah wajar selepas mahkamah yang mendengar rayuan anak guamnya membuat kesilapan asas dalam undang-undang dengan tidak membenarkan penangguhan perbicaraan dan kemudian tidak membenarkan peguam Najib, Hisyam dilepaskan daripada tugas.

Pada 28 Julai 2020 Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun kerana salah guna kuasa.

Pada 8 Disember 2021 rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. – 31 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen