Bekas tahanan Sosma jatuh semakin miskin, kata Suaram


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata mereka yang dibebaskan daripada tahanan Sosma lazimnya hilang pekerjaan dan sukar untuk kembali ke pekerjaan asal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 September, 2023.

TAHANAN Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan keluarga mereka jatuh lebih miskin kerana dikenakan tindakan bawah undang-undang, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mereka yang dibebaskan daripada tahanan pula lazimnya hilang pekerjaan dan sukar untuk kembali ke pekerjaan asal, kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang rata-rata berada dalam golongan B40, tetapi juga kepada keluarga mereka yang terpaksa menanggung beban kewangan tambahan,” katanya mengumumkan hasil kajian Suaram di Kuala Lumpur, hari ini.

Beban kewangan tambahan itu termasuk kos lawatan ke pusat tahanan yang mencecah RM1,000 sebulan dan yuran guaman yang boleh mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit.

Kajian Suaram yang melihat kesan sosioekonomi akibat daripada penahanan bawah Sosma dibuat berdasarkan temubual dengan 120 orang terdiri daripada bekas tahanan dan ahli keluarga mereka yang sedang ditahan.

“Penahanan Sosma juga menyebabkan ketidakstabilan dalam kehidupan keluarga dan menyebabkan keluarga berpecah-belah serta wujud hubungan yang tegang antara pasangan dan anak,” katanya.

Sevan menjelaskan penahanan ketua keluarga bawah Sosma juga menjejaskan emosi kanak-kanak dalam keluarga berkenaan selain menjejaskan pendidikan mereka.

“Mereka menunjukkan gejala seperti enggan ke sekolah, sukar tidur dan kesusahan emosi yang menyebabkan mereka keciciran, alami kesulitan dalam pembelajaran dan kebimbangan akibat persepsi negatif rakan sebaya yang jelas mengganggu perkembangan pendidikan dan psikososial kanak-kanak,” katanya.

Jelas Sevan, Sosma tidak hanya melibatkan individu yang ditahan tetapi memberi kesan besar kepada sosioekonomi dan psikologi keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka.

Untuk itu, beliau mengulangi pendirian Suaram yang mendesak akta berkenaan dipinda terutama yang melibatkan soal ikat jamin, reman dan akses kepada peguam.

Beliau juga menyarankan kerajaan supaya memastikan proses mahkamah dipercepatkan selain menyediakan sistem sokongan kepada tahanan dan keluarga mereka.

Sistem sokongan itu termasuk bantuan kewangan dan sokongan pemulihan kepada bekas tahanan serta bantuan kepada keluarga terutamanya isteri dan ibu tunggal yang terpaksa memikul tanggungan tahanan.

Sosma diperkenalkan pada 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (EO).

Akta itu membenarkan mana-mana individu ditahan untuk tempoh 28 hari tanpa bicara dan tidak diberikan akses kepada peguam selama 48 jam pertama selepas ditahan. Mereka juga tidak dibenarkan ikat jamin. – 27 September, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen