Ibu tunggal batal permohonan cabar keputusan benar MAIPs jadi pencelah


IBU tunggal Loh Siew Hong memfailkan notis untuk tidak meneruskan permohonan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mencelah dalam prosiding pembubaran perkahwinannya.

Perkara ini disahkan oleh peguam utama beliau A Srimurugan dan peguam MAIPs iaitu Daniel Farhan Zainul Rijal ketika dihubungi hari ini.

Srimurugan berkata kedua-dua pihak bersetuju menarik balik permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu tanpa kos.

“Kami membuat keputusan untuk menarik balik permohonan itu kerana Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Oktober depan untuk mendengar rayuan Loh berkaitan kesahihan penukaran agama anak-anaknya. Jika rayuan kami dibenarkan, prosiding yang lain sudah tidak diperlukan,” katanya.

Seorang lagi peguam Loh iaitu J Gunamalar pula berkata notis itu difailkan hari ini.

Sementara itu, Danial Farhan berkata beliau menerima notis tersebut pagi tadi.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan Loh untuk kebenaran merayu esok.

Loh memfailkan permohonan itu Mac lepas bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Februari yang membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian dengan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, membabitkan hak penjagaan tiga anak mereka yang diperoleh beliau.

Dalam petisyen perceraian itu, Loh diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berumur 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Pada 15 Jun 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan MAIPs untuk mencelah prosiding perceraian di antara Loh dan Muhammad Nagahswaran, yang memeluk Islam bersama ketiga-tiga anak mereka, bagi meminda perintah hak penjagaan tunggal yang diperoleh Loh untuk membolehkan lelaki itu memberikan pendidikan dan latihan mengenai Islam serta zakat kepada kanak-kanak terbabit.

MAIPs memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah pada 7 Mac tahun lepas bagi membolehkan pihak berkuasa agama itu mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk memohon mengubah syarat perintah hak penjagaan yang diberikan kepada Loh.

Loh turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar penukaran agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam yang didakwa dilakukan oleh bekas suaminya tanpa persetujuan beliau.

Bagaimanapun, beliau gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi dan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan. – Bernama, 25 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen