MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengenakan denda RM20,000 kepada mualaf Muhammad Nagahswaran Muniandy, bekas suami Loh Siew Hong, atau penjara dua minggu jika ingkar kerana menghina mahkamah.
Hakim Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas mendapati Nagahswaran campur tangan dalam urusan pentadbiran keadilan.
Hakim memberi Nagahswaran tempoh 14 hari untuk membayar denda itu.
Peguam Loh, J Gunamalar berkata hakim turut memerintahkan Nagahswaran membayar anak guamnya RM6,000 sebagai kos.
Pada 20 September, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi kebenaran Loh memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya, yang dituduh menculik tiga anak mereka dan menukar agama kepada Islam pada 2019 tanpa kebenarannya.
Hakim Evrol berkata terdapat perintah mahkamah yang memberikan Loh hak penjagaan tunggal ke atas anak-anaknya pada 31 Mac 2019, yang didakwanya dilanggar oleh Nagahswaran.
Pada 21 Februari tahun lalu, Loh akhirnya disatukan semula dengan anak-anaknya selepas Mahkamah Tinggi memberikannya writ habeas corpus untuk pembebasan segera tiga anaknya daripada tahanan yang didakwa menyalahi undang-undang.
Kanak-kanak yang dilahirkan beragama Hindu itu diislamkan oleh pihak berkuasa agama Perlis dengan alasan persetujuan unilateral bapa mereka. – 5 April, 2023.
Komen