Mahkamah tolak permohonan MAIPs untuk tukar perintah hak penjagaan anak Loh


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan  Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh ibu tunggal Loh Siew Hong.

Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy telah menukarkan agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam di Perlis.

Hakim Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

“Mereka bukan yatim piatu. Mereka juga bukan milik komuniti di Perlis. Mereka menetap di Selangor dan hanya ke Perlis untuk menukar agama,” katanya.

Beliau berkata MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Loh berhubung permohonan yang difailkan pada 7 Mac lepas untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan yang diperoleh wanita tersebut.

Dalam petisyen perceraian itu, Loh, 34, telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi pasangan kembar perempuan berumur 14 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun.

Dalam penghakimannya, Peters berkata MAIPs juga masih tidak akan dibenarkan mencelah kerana ia hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam di Perlis meskipun penukaran agama kanak-kanak terbabit dilakukan dengan sempurna.

Hakim itu berkata MAIPs gagal membuktikan bahawa Loh tidak memastikan anak-anaknya masih meneruskan pendidikan agama mereka.

Peters juga berkata peranan keluarga dalam melindungi anak-anak boleh dilihat daripada analogi menjemput tetamu datang ke rumah.

“Permohonan untuk mendapatkan kebenaran mencelah dalam prosiding perceraian Loh adalah seperti meminta kepada mahkamah agar MAIPs dijemput sebagai tetamu untuk makan malam bagi memasuki rumah dan akhirnya duduk menikmati hidangan bersama keluarga itu.

“Tuan rumah di sini ialah mahkamah dan ia perlu berhati-hati dengan tetamu yang dijemput kerana terdapat kanak-kanak di dalam rumah yang perlu dilindungi. Jika tetamu tidak berada dalam senarai maka adalah lebih baik untuk tidak membenarkan mereka masuk kerana ia hanya akan membuang masa mereka dan tuan rumah,” katanya.

Selepas itu, peguam Malcom Fernandez yang mewakili Nagahswaran berkata anak guamnya, yang kini menjalani hukuman penjara di Machang, Kelantan telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan akses berkomunikasi dengan kanak-kanak terbabit melalui sidang video setiap minggu.

Bagaimanapun, peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh berkata beliau perlu mendapatkan arahan daripada anak guamnya berhubung perkara itu.

Fernandez kemudian menyarankan mahkamah menemu bual kanak-kanak terbabit namun tidak dipersetujui oleh Peters.

“Saya tidak suka menemu bual kanak-kanak terbabit kerana ia boleh menjadi pengalaman yang menakutkan kepada mereka. Sila ingat bahawa ini adalah mengenai hak kanak-kanak terbabit bukan hak mengenai hak ibu bapa,” katanya.

Mahkamah menetapkan 4 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya. – Bernama, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen