MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya oleh bekas suaminya.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.
Hakim berkata Loh sebagai pemohon tidak menafikan anak-anaknya terus mengamalkan agama Islam dengan menunaikan solat subuh setiap hari apabila mereka berada dalam jagaannya.
“Jadi walaupun sijil penukaran agama bukan bukti muktamad, memandangkan sifatnya yang unilateral, ‘kekuatan bukti’ akan menunjukkan ketiga-tiga anak itu terus menganut agama Islam,” katanya.
Beliau berkata tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu kembali ke agama Hindu.
Mengenai isu penukaran agama, Wan Ahmad Farid mendapati tiada pertikaian sijil penukaran agama dikeluarkan untuk kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata sijil itu dikeluarkan selepas responden pertama iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang di bawah Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 dipatuhi apabila kanak-kanak itu mengisytiharkan syahadah dengan rela hati.
“Sijil penukaran agama yang dikeluarkan oleh responden pertama dalam kes itu adalah bukti muktamad fakta yang dinyatakan dalam sijil tersebut,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata afidavit Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor menunjukkan kanak-kanak itu menunjukkan niat melalui tindakan mereka untuk terus berada dalam Islam walaupun berada di bawah jagaan Loh tahun lepas.
Hakim berkata pada afidavit Mohd Nazim menunjukkan kanak-kanak itu pada 22 Februari tahun lepas masih mengamalkan ajaran Islam, menunaikan solat subuh, malah seorang daripada mereka mahu menjadi peguam syarie.
Hakim turut memetik satu aspek dalam satu lagi kes penukaran agama secara unilateral, kes M. Indira Gandhi yang melibatkan kebajikan kanak-kanak.
“Memandangkan semua keadaan kes itu tiada bukti di hadapan saya bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak gembira tinggal bersama pemohon. Oleh itu, kebajikan kanak-kanak, dalam maksud kes Indira Ghandi, menetapkan status quo harus kekal.
“Atas sebab-sebab yang disebutkan di atas, permohonan untuk semakan kehakiman ini ditolak,” kata hakim itu sambil menambah mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana kes itu adalah soal kepentingan awam.
Pada 1 Ogos 2022 Loh mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan permohonan semakan kehakiman.
Loh, 36, memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.
Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.
Wanita itu juga memohon pengisytiharan tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.
Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya dan juga kad lain mengenai pemelukan agama Islam yang dikeluarkan oleh pihak lain dan juga menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad tersebut.
Tiga kanak-kanak itu, kembar perempuan berusia 15 tahun dan lelaki berusia 11 tahun yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat kemudiannya diserahkan kepada Loh pada 21 Februari 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya. – Bernama, 11 Mei, 2023.
Komen