Ahli politik Sarawak, aktivis persoal keperluan status anak negeri


Desmond Davidson

Adun Ba Kelalan Baru Bian berkata beliau bimbang proses permohonan itu mungkin menimbulkan masalah birokrasi dan beban kewangan lain kepada rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2023.

PEMIMPIN politik dan aktivis hak sivil Sarawak mempersoalkan keperluan memohon untuk diiktiraf sebagai anak negeri Sarawak di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022.

Mereka turut mempersoalkan bayaran permohonan RM100 yang menurut mereka mungkin terlalu mahal bagi etnik asli yang tinggal di kawasan luar bandar.

Adun Ba Kelalan Baru Bian berkata walaupun gembira tarikh penguatkuasaan akhirnya diputuskan, beliau bagaimanapun bimbang proses permohonan itu mungkin menimbulkan masalah birokrasi dan beban kewangan lain kepada rakyat yang menunggu sekian lama untuk penyelesaian.

Baru berkata membuat permohonan di pejabat daerah dan kemudian menunggu Setiausaha Kerajaan Negeri dan jawatankuasanya untuk mempertimbangkan permohonan pasti akan menyebabkan kelewatan kerana Setiausaha Kerajaan Negeri tidak akan sentiasa ada kerana turut mempunyai banyak tugas lain.

Permohonan itu, kata Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB), perlu diuruskan di peringkat daerah oleh pegawai daerah dan/atau pegawai tadbir Sarawak (SAO).

“Proses pengiktirafan status anak negeri harus dipermudah, dan pegawai daerah atau SAO adalah yang terbaik untuk mengendalikan permohonan tersebut,” katanya.

Baru berkata dengan memberi mereka kuasa membuat keputusan, ia akan mengelakkan kelewatan yang tidak perlu.

Tambahan pula katanya, pegawai-pegawai ini mempunyai pengetahuan dan hubungan tempatan untuk membolehkan mereka memberikan kelulusan dengan cepat.

Baru juga turut mempersoalkan sama ada bayi baru lahir juga perlu membuat permohonan itu.

“Adakah mereka perlu membuat permohonan atau ada kemungkinan status mereka perlu dimasukkan dalam sijil kelahiran mereka semasa pendaftaran kelahiran mereka?

“Saya yakin kerajaan negeri boleh berurusan dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) mengenai perkara ini.”

Mengenai bayaran pemprosesan RM100, Baru berkata ia boleh dielakkan, terutamanya jika terdapat beberapa permohonan daripada satu keluarga.

Beliau berkata ia mungkin menjadi beban dan menghalang rakyat Sarawak yang layak daripada membuat permohonan.– 20 September, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen