Gubal undang-undang diskriminasi bukan penyelesaian, kata ahli Parlimen 


Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata masyarakat yang sihat dan harmoni seharusnya dapat memupuk hubungan baik di kalangan rakyat Malaysia sejak kecil lagi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 September, 2023.

UNDANG-undang kawal diskriminasi tidak seharusnya menjadi penyelesaian bagi mengatasi masalah itu, kata Wong Shu Qi.

Ahli Parlimen Kluang berkata beliau secara peribadi merasakan menggubal undang-undang anti diskriminasi tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika anda memerlukan pegawai penguatkuasa untuk memberitahu anda apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan, maka ada sesuatu yang tidak betul,” katanya.

Terdahulu, tinjauan oleh Architects of Diversity mendedahkan bahawa 64% rakyat Malaysia telah melaporkan mengalami beberapa bentuk diskriminasi dalam tempoh 12 bulan lalu.

Status sosio-ekonomi mengatasi jenis diskriminasi yang dihadapi pada tahun lalu dengan 38%, diikuti oleh umur (33%) dan etnik (32%).

Penemuan menunjukkan penganut Hindu lebih cenderung mengalami diskriminasi berasaskan agama pada 40%, Islam (20%), Kristian (26%) dan Buddha (22%).

Wong adalah penceramah pada pelancaran Kajian Diskriminasi Negeri 2023 hari ini.

Wong berpendapat masyarakat yang sihat dan harmoni seharusnya dapat memupuk hubungan baik di kalangan rakyat Malaysia sejak kecil lagi.

“Kita tidak sepatutnya menjatuhkan sesiapa kerana latar belakang bangsa atau agama mereka,” katanya.

“Dalam masyarakat yang lebih harmoni, ia harus diselesaikan dengan cara yang lebih aman, kerana ia boleh meningkatkan persefahaman dan perhubungan, dan bukannya menggunakan penguatkuasaan undang-undang kerajaan.

“Ia bukan tentang bertolak ansur dengan perbezaan kaum dan agama di negara ini, ia tentang menerima mereka,” tambahnya.

Wong bersetuju bahawa undang-undang sedemikian akan membantu dalam aspek tertentu, contohnya untuk melarang diskriminasi kaum dalam kalangan pemilik harta.

Akta Penyewaan Kediaman yang dicadangkan, yang melarang diskriminasi kaum, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. – 14 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen