Khairy tegur Pemuda Umno hina nama ahli Parlimen Kluang


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Pemuda Umno bersikap lebih rasional dan matang apabila mengkritik ahli-ahli politik Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2019.

KHAIRY Jamaluddin hari ini menyelar Pemuda Umno kerana menghina nama Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dengan perkataan lucah pada satu himpunan bantahan minggu lepas.

“Mereka yang keluarkan kata-kata lucah, biadab, saya tak fikir itu tindakan sesuai. Kalau nak kritik, tak apa.

“Kalau nak cakap yang kenyataannya tidak betul dan dia tak sensitif dengan orang Melayu, tak apa. Tetapi panggil namanya dengan kata-kata lucah, pada saya itu tak boleh diterima,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu kepada pemberita selepas menyertai forum di Universiti Sunway hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rembau mengulas tindakan Pemuda Umno yang mengecam seta mengejek Wong pada himpunan di luar pejabatnya di Kluang, Johor kelmarin.

Ahli-ahli Pemuda Umno mengadakan bantahan berikutan Wong mengeluarkan kenyataan berkaitan isu pengajaran tulisan khat Jawi bagi murid Tahun 4 di sekolah vernakular.

Dalam kenyataannya, Wong menjelaskan tulisan Jawi tiada kena mengena dengan agama dan berkata bahan bacaan lucah pada 1940-an juga ditulis dengan tulisan Jawi.

Beliau dipercayai merujuk kepada hujah sejarawan Melayu terkemuka, Dr Mohd Faizal Musa.  

Kerana marahkan Wong, Pemuda Umno memanggil nama ahli Parlimen Kluang itu Wong P*** - perkataan yang bermula dengan “p” dan berakhir dengan “i” yang merujuk kepada alat kelamin wanita.

Khairy hari ini menggesa Pemuda Umno bersikap lebih rasional dan matang apabila mengkritik ahli-ahli politik Pakatan Harapan.

“Saya harap mereka boleh beri kritikan yang bijak dan matang. Kita boleh mengkritik dengan cara beretika ketika berhujah.” – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen