Tunjuk perasaan Umno diwarnai kata lucah


Perkataan itu dilaungkan ketika hadirin mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menempik nama Wong yang kemudian disahut orang ramai dengan perkataan lucah tersebut. – Gambar Facebook Pemuda Umno Tebrau, 17 Ogos, 2019.

AHLI Parlimen Kluang Wong Shu Qi hari ini digelar dengan perkataan lucah dalam sebuah perhimpunan mendesak beliau meletak jawatan yang dianjurkan parti pembangkang.

Himpunan itu diadakan berikutan kenyataan Wong Shu Qi yang mengaitkan tulisan Jawi dengan penulisan lucah baru-baru ini.

Video mengenai himpunan itu dimuat naik di halaman Facebook Pemuda Umno Tebrau, menunjukkan orang ramai berkumpul di luar pejabat penggubal undang-undang daripada DAP itu di Taman Tasek Kluang. Mereka kelihatan menjerit perkataan lucah yang mirip dengan nama Shu Qi.

Perkataan yang bermula dengan “p” dan berakhir dengan “i” digunakan sebagai kata hinaan dan merujuk kepada alat kelamin wanita.

Perkataan itu dilaungkan ketika hadirin mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang melaungkan nama Wong yang kemudian disahut orang ramai dengan perkataan lucah tersebut. 

Asyraf kemudian ketawa kecil dan meminta hadirin untuk berhenti selepas beberapa kali hadirin menyahut dengan perkataan lucah tersebut.

Wong dalam ucapannya kepada hadirin Cina di Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogos lalu telah cuba menjelaskan bagaimana kaligrafi khat digunakan sebagai tulisan untuk menulis pelbagai jenis teks. Percubaannya untuk menerangkan khat itu rentetan perdebatan hangat berhubung rancangan kerajaan untuk memperkenalkan khat kepada murid di Tahun 4 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Wong cuba menjelaskan bahawa khat telah digunakan dengan cara yang sama seperti aksara roman yang lazim digunakan ketika ini, Wong menyebut contoh-contoh termasuk beberapa bahan bacaan lucah. Beliau juga menyebut tulisan-tulisan teks Kristian juga turut menggunakan aksara Jawi pada abad ke-19.

Satu video mengenai ucapan Wong tular di media sosial dan beliau dituduh menghina Jawi. Wong kemudiannya mengeluarkan kenyataan, mengatakan petikannya telah diambil di luar konteks dan beliau menjelaskan dirinya cuba memberikan contoh yang dapat difahami oleh hadirin.

Wong juga berkata beliau cuba untuk menafikan persepsi bahawa khat diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai “taktik Islamisasi”.

Kerajaan telah memutuskan bahawa pengenalan khat Tahun 4 bagi murid sekolah vernakular menjadi pilihan dengan di mana persatuan ibu bapa dan guru sekolah vernakular diberi kuasa untuk menentukan pelaksanaannya.  – 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen