Peniaga keliru kerajaan sering ubah keputusan, kata ahli Parlimen DAP


Keputusan kerajaan yang sering berubah-ubah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan peniaga, kata dua ahli Parlimen DAP.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 2 Jun, 2021.

TINDAKAN kerajaan yang sering mengubah keputusan saat akhir menyebabkan banyak perniagaan dalam sektor perkhidmatan perlu masih belum mendapat kebenaran untuk beroperasi masuk hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kata ahli Parlimen DAP.

Keputusan kerajaan yang sering berubah-ubah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan peniaga, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dalam kenyataan hari ini.

“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Antrabangasa dan Industri (MITI) digesa duduk besama menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga kecil sektor perlu.

“Dalam pelaksanaan PKP yang lalu, kedai runcit, pasar raya, kedai makanan dan minuman yang disenaraikan sebagai sektor perlu, tidak diminta untuk memperoleh surat kebenaran dari MITI.

“Pengumuman ini bagaimanapun ditarik semula sehari selepas itu susulan banyak kementerian langsung tidak bersedia untuk memproses permohonan dari peniaga bidang masing-masing. 

“Malah, ada kementerian terpaksa mengguna borang Google untuk menerima permohonan. 

“Akhirnya, semua peniaga diminta untuk mengemukakan permohonan mereka semula menerusi sistem CIMS 3.0 yang dikawal selia oleh MITI – sekali lagi,” kata mereka.

Chan dan Wong berkata sehingga sekarang masih ada ramai peniaga termasuk kedai makanan dan minuman, kedai runcit ataupun pembekal barangan asas belum mendapat surat kebenaran MITI.

“Ramai mereka tertanya-tanya, bolehkah mereka beroperasi ataupun menunggu sehingga kebenaran diberikan oleh MITI?” 

Dua ahli Parlimen itu juga menggesa Menteri Perdagangan Antrabangasa dan Industri Mohamed Azmin Ali berunding dengan agensi penguat kuasa, KDN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak berkuasa tempatan supaya masalah yang berbangkit dapat diselesaikan. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen