AHLI Parlimen Kluang Wong Shu Qi membidas PAS yang bersikap talam dua muka kerana mahu memanipulasi sistem pilihan raya untuk kekal berkuasa sedangkan ia memperjuangkan pilihan raya adil ketika menjadi pembangkang.
“Kita perlu menangi pilihan raya dengan adil - bukan dengan memanipulasi pilihan raya untuk kepentingan sesetengah pihak, dan yang pastinya bukan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shu mengulas kenyataan ahli jawatankuasa PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyatakan sempadan kawasan Parlimen pilihan raya boleh diubah untuk memberi manfaat kepada orang Melayu-Islam jika PAS dan sekutunya memenangi pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga.
Menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata ia memerlukan kerjasama tiga parti Melayu - PAS, Bersatu dan Umno - untuk menjadikan impian itu satu kenyataan.
Bagaimanapun Shu mengingatkan PAS bahawa tidak lama dulu parti politik itu berpendirian untuk pembaharuan pilihan raya dan pernah menjadi ahli pengasas Bersih.
“Bersama dengan rakyat Malaysia, mereka menuntut pilihan raya bersih dan adil. Presidennya Abdul Hadi Awang memakai baju kuning, berarak bersama pemimpin politik lain, masyarakat sivil dan puluhan ribu rakyat Maaysia untuk membuat tuntutan ini.”
Beliau berharap PAS yang menjadi sebuah parti dalam kerajaan hari ini, sekurang-kurangnya mengkaji semula laporan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya pada 2012.
“Jawatankuasa Khas Pembaharuan Pilihan Raya ditubuhkan pada 2011 selepas perhimpunan Bersih 2.0.
“Ia terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.”
Shu berkata laporan yang dibuat memberi pelbagai cadangan bagi menambak baik sistem dan amalan pilihan raya termasuk pengenalan dakwat kekal, mengatur pembiayaan politik, persempadanan semula yang adil, memperkukuh Suruhanjaya Pilihan Raya dan meneliti sistem pilihan raya baru.
“Malangnya, ramai yag hanya ingat dengan dakwat kekal yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum 2013.
“Laporan itu kemudian diketepikan selepas itu dan tidak banyak yang dilakukan sehingga Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada 2018.”
Menurutnya kerajaan PH memberi kebebasan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya dengan mandat untuk mengkaji semula sistem pilihan raya, pendidikan pengundi dan pembiayaan pilihan raya.
“Selepas kejatuhan PH, Perikatan Nasional (PN) sekai lagi mengabaikan usaha untuk pembaharuan pilihan raya.
“Apa yang Khairuddin lakukan adalah keterbelakang, mengundurkan usaha untuk menambah baik demokrasi di negara ini.
Tambahnya, daripada menambah baik demokrasi, Khairuddin sebaliknya secara terbuka mempromosikan gerrymandering, menggunakan kaum dan agama untuk memanipulasi pilihan raya.
“Tindakan ini bukan sahaja pengkhianatan kepada rakyat yang mempercayai PAS sejak ia dalam Bersih namun juga kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya.
“Jika Langkah Sheraton terhadap parti yang dipilih secara demokrasi dan penggantungan sidang Parlimen tidak cukup merosakkan demokrasi, PAS dan Khairuddin mahu merosakkan lagi Malaysia dengan ideologi antidemokrasinya. – 28 Mac, 2021.
Komen