Kerajaan putar belit kenyataan berhubung kebebasan media, kata ahli Parlimen


Ahli Parlimen Wong Shu Qi berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dilihat memutarbelitkan kenyataan apabila mengatakan kerajaan Perikatan Nasional melindungi kebebasan media namun menggunakan Akta Finas terhadap penyiar Al-Jazeera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dilihat memutarbelitkan kenyataan apabila mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melindungi kebebasan media namun menggunakan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terhadap penyiar Al-Jazeera, kata seorang ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Wong Shu Qi berkata Saifuddin dengan jelas mengakui di Dewan Rakyat semalam bahawa Akta Finas digunakan terhadap organisasi berita milik Qatar kerana dokumentari “Locked in the Lockdown Malaysia” telah menyinggung kerajaan.

“Gambaran itu menakutkan: Kerajaan PN membalas dendam terhadap media menggunakan undang-undang yang diakui kerajaan sendiri sudah ketinggalan zaman dan sedang dalam proses perubahan.

“Sekiranya ada, ini jelas merupakan bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Orang ramai tidak akan tertipu untuk mempercayai cakap menteri yang putar belit, di satu pihak dia mendakwa melindungi media, di sisi lain dia mengambil tindakan untuk menyekat media,” kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin semalam ditekan oleh ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera termasuk menyerbu pejabat mereka di Kuala Lumpur.  

Beliau berkata stesen penyiaran Qatar itu menjadi sasaran kerana dokumentarinya mengenai pendatang asing tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan Covid-19 mencemar imej “frontliners” Malaysia.

Wong berkata Saifuddin tidak sepatutnya menggunakan “frontliners” sebagai alasan dan berkata bahawa kerajaan diberi peluang oleh Al Jazeera untuk membalas kritikan dalam dokumentari berkenaan tetapi tidak melakukannya.

Sebelum ini Saifuddin berkata kerajaan akan melindungi kebebasan media dan juga mengkaji Akta Finas.

Di Dewan semalam Saifuddin juga membidas Pakatan Harapan dengan berkata bahawa komitmen PN untuk mengkaji semula Akta Finas adalah sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

Mengenai hal ini Wong berkata walaupun PH sebenarnya tidak berjaya mengubah semua undang-undang yang menindas, ia juga tidak menggunakan undang-undang itu terhadap media.

“Sebenarnya kebebasan media berkembang di bawah PH seperti yang dibuktikan oleh laporan tempatan dan antarabangsa. Tetapi Saifuddin menyalahkan PH kerana gagal mengambil tindakan walaupun pada hakikatnya dia bukan hanya menteri dalam kabinet kerajaan PH, dia juga pemimpin kanan gabungan itu sebagai setiausaha sekretariat PH,” katanya.

Saifuddin bersama PKR sebelum keluar dari parti berkenaan untuk bergabung dalam komplot menjatuhkan kerajaan PH dan menggantikannya dengan PN. Beliau pernah menjadi menteri luar di bawah pemerintah PH. – 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen