Al Jazeera disiasat kerana cemar imej petugas barisan hadapan Malaysia, kata Saifuddin


Chan Kok Leong

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mempertahankan tindakan serbuan ke atas pejabat Al Jazeera di ibu negara hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

STESEN penyiaran Qatar menjadi sasaran kerana dokumentarinya mengenai pendatang asing tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan Covid-19 mencemar imej “frontliners” Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, beliau berulang kali ditekan oleh ahli Parlimen pembangkang berhubung mengapa kerajaan menyerbu pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur petang ini.

Saifuddin berkata serbuan itu dijalankan kerana dokumentari Al Jazeera menyebabkan imej Malaysia tercalar. 

“Saya sudah jawab mengenai isu Al Jazeera tetapi oleh kerana mereka masih lagi bertanya, saya mahu katakan ini. 

“Ini bukan jawapan undang-undang. Ini jawapan politik saya.

“Apabila ada orang asing mengusik petugas barisan hadapan..ini pepatah Melayu kalau tidak faham, cubit peha kiri, peha kanan juga akan terasa. 

“Kamu perlu faham itu,” kata Saifuddin ketika ucapan penggulungan perbahasan titah diraja.

Saifuddin juga berkata rakyat Malaysia kini mempunyai hubungan “simbiosis” dengan petugas barisan hadapan yang menangani pandemik Covid-19. 

“Saya sudah berikan jawapan perundangan tetapi kamu terus bertanya. Ini adalah jawapan politik,” kata beliau. 

Sebelum ini, menteri berkenaan bercakap mengenai “jawapan undang-undang” dengan mengatakan terdapat undang-undang yang mentadbir media di Malaysia. 

Wong Shu Qi (Kluang-PH) mengapa Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) digunakan terhadap Al Jazeera. 

Teresa Kok (Seputeh-PH) turut campur tangan dan mengatakan serbuan ke atas Al Jazeera yang mencemarkan imej Malaysia. 

Saifuddin menjawab: “Siapa yang cemarkan imej kita? Dokumentari itu atau siapa?

“Kita ahli Parlimen, dan kita mungkin nak berpolitik, tetapi kena hati-hati…,” kata Saifuddin sebelum dihentikan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. 

Mengenai Akta Finas, Saifuddin memberitahu Wong bahawa kerajaan Perikatan Nasional sudah membuat keputusan untuk meminda undang-undang itu. 

“Pada 23 Julai, kamu tanya dan saya jawab dan saya beri penjelasan selepas itu. Pada 24 Julai, kabinet memutuskan untuk menjamin kebebasan media dan hak kebebasan individu dan mengatakan undang-undang itu akan dipinda. 

“Dalam 20 jam, Perikatan buat keputusan untuk lakukan sesuatu yang Pakatan Harapan tidak buat dalam 22 bulan,” kata Saifuddin, yang merupakan menteri Barisan Nasional (2009-2013), menteri Pakatan (2018-2020) sebelum menjadi menteri Perikatan pada Mac tahun ini selepas meninggalkan PKR. 

Psda 3 Julai, Al Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” yang menemubual seorang pekerja warga Bangladesh bernama Md Rayhan Kabir.

Dokumentari itu antara lain mendakwa layanan buruk Malaysia terhadap warga asing tanpa dokumen ketika pihak berkuasa membendung penularan Covid-19, termasuk melalui kenyataan Md Rayhan Kabir yang bekerja di negara ini.

Rayhan kemudian ditahan dan kini direman di pusat tahanan Putrajaya untuk siasatan lanjut. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen