Polis serbu pejabat Al Jazeera, siasat dokumentari warga asing


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS menyerbu pejabat biro Al Jazeera di Kuala Lumpur dipercayai berhubung siasatan terhadap dokumentari dalam program majalah berita 101 East yang memaparkan dakwaan penganiayaan terhadap warga asing tanpa dokumen.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid yang dihubungi oleh The Malaysian Insight mengesahkan serbuan, yang dibuat di pejabat biro stesen berita televisyen itu di bangunan G Tower di Jalan Tun Razak.

“Pemeriksaan sedang dijalankan, biar mereka buat kerja dulu, nanti saya kongsi maklumat lain,” katanya ketika dihubungi.

The Malaysian Insight difahamkan premis berkenaan adalah tempat dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown disiapkan.

Sumber memberitahu polis merampas cakera keras yang dipercayai digunakan untuk menyimpan salinan asal dokumentari berkenaan, serta beberapa peralatan rakaman yang dipakai dalam penerbitannya.

Dokumentari itu antara lain mendakwa layanan buruk Malaysia terhadap warga asing tanpa dokumen ketika pihak berkuasa membendung penularan Covid-19, termasuk melalui kenyataan warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang bekerja di negara ini.

Md Rayhan kemudian dilaporkan akan diusir dari Malaysia.

Putrajaya mempersoalkan paparan dokumentari itu yang disifatkan berat sebelah dan tidak adil.

Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar juga menjelaskan mereka sudah berusaha mendapatkan pandangan balas daripada pihak berkuasa Malaysia namun tidak dilayan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata polis membuka siasatan atas arahan Pejabat Peguam Negara, yang mendapati dokumentari berkenaan cuba memburukkan nama Malaysia.

Penyiarannya juga mencetuskan rasa tidak senang dan kemarahan orang ramai, katanya.

Pada 10 Julai lalu, enam kakitangan Al Jazeera yang dipercayai terlibat dalam pembikinan dokumentari itu hadir bersama peguam ke Bukit Aman untuk diambil keterangan mereka.

Sementara itu, pihak Imigresen menafikan ia membatalkan permit kerja warga Md Rayhan Kabir kerana wawancaranya yang disiarkan dalam dokumentari itu.

Permit berkenaan sebaliknya dibatalkan kerana beliau tidak lagi bekerja dengan syarikat yang diluluskan dalam permit tersebut. – 4 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen