Perikatan akan pikat pengundi bukan Melayu di Johor


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata 80% pengundi Melayu bersama PN dan mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

PEMIMPIN Perikatan Nasional (PN) yakin dapat memenangi hati pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil di Johor, kata wakil gabungan itu.

Mereka menolak hasil tinjauan yang mengatakan PN tidak akan dapat memperoleh sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya di enam negeri baru-baru ini kerana agenda ‘Melayu Islam’ yang dibawa.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata walaupun beberapa calon PN terutama daripada Gerakan kalah kepada Pakatan Harapan (PH), namun dari segi margin ia sangat sedikit.

PN menang di kerusi majoriti Melayu di Kedah, Terengganu dan Kelantan tapi mereka juga berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor untuk pertama kali dalam tempoh 15 tahun ini.

“Bukannya kami tak dapat sokongan bukan Melayu, cuma belum cukup untuk kami menang.

“Kalau tengok marginnya hanya beberapa ratus, tak sampai seribu pun.

“Sebab itu untuk pilihan raya kecil (PRK) di Johor kami beri mandat kepada bukan Islam sayap Bersatu dan PAS untuk mendekati pengundi bukan Melayu.

“Mereka (bukan Melayu) sebenarnya nampak kami muma kami kena kerja lebih sedikit untuk yakinkan mereka,” kata Razali yang merupakan seorang senator.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata orang bukan Melayu semakin mendekati PN selepas pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.

“Kami dapat maklum balas yang baik daripada mereka dan jika kami kerja lebih keras, kami boleh berjaya,” katanya.

Katanya, 80% pengundi Melayu bersama PN dan mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Sebelum ini, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Mujibu Abd Muis berkata PN sudah bergerak lebih ke depan daripada sebelum PRN di enam negeri hingga berjaya memenangi hati pengundi Melayu.

Penganalisis politik dari Sunway University Wong Chin Huat juga senada.

Langkah strategik itu adalah sebagai tindak balas kepada usaha PN yang tidak berjaya untuk mendapatkan undi bukan Melayu melalui Gerakan seperti yang terbukti dalam kedua-dua pilihan raya umum ke-15 dan pilihan raya enam negeri baru-baru ini.

Sementara itu, Jawatakuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin akui PN tidak menerima banyak sokongan daripada bukan Melayu.

Katanya, ia susulan naratif gelombang hijau yang dimainkan bekas pengerusi DAP Lim Kit Siang hingga menakutkan kaum Cina dan India.

“Tapi naratif gelombang hijau dimainkan Kit Siang itu kena dia balik. Orang Melayu sokongan kami.

“Untuk itu kami perlu tingkatkan pendekatan dengan menjuarai isu ekonomi, dasar dan isu pusat.

“Kami perlahan-lahan menuju ke arah itu. Kita perlu cakap lebih tentang integriti dan pada masa yang sama perkukuhkan kedudukan kami dalam segmen Melayu Islam,” kata bekas ahli PKR itu. – Bernama, 31 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen