Isu tokong, polis siasat Guan Eng


Lim yang memberi maklum balas terhadap laporan itu mendakwa kenyatannya yang petik akhbar China Press sudah diputar belit oleh MalaysiaNow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng  disiasat polis susulan kenyataannya berkait perobohan tokong Buddha jika Perikatan Nasional memenangi Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, G S Suresh Kumar berkata siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan terhadap Lim.

Ucapannya disiarkan portal berita MalaysiaNow pada 8 Julai.

Suresh berkata kenyataan Lim itu ‘dipercayai menyentuh isu 3R’ dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ akan memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Isu 3R merujuk kepada kaum, agama dan raja.

Menurut Suresh, kenyataan itu dibuat Lim ketika berucap pada program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Laporan MalaysiaNow merupakan terjemahan daripada laporan asal akhbar China Press.

Susulan laporan MalaysianNow itu, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mengerahkan ahli gabungan itu membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Lim.

Sementara itu Lim yang memberi maklum balas terhadap laporan itu mendakwa kenyatannya yang petik akhbar China Press sudah diputar belit oleh MalaysiaNow.

Katanya, dia tidak pernah menyebut tokong Cina atau pun Buddha di Pulau Pinang sebaliknya dia menyebut perobohan tokong Hindu di Kedah pada 2020. – 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen