Kerusi panas tumpuan pada pilihan raya 6 negeri


Ravin Palanisamy

Gabungan PH-BN cuba mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan kerjasama pada PRN namun berdepan tugas sukar untuk menghalang ‘gelombang hijau’ yang dibawa PN, gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2023.

PILIHAN raya negeri (PRN) 12 Ogos ini bakal menyaksikan 245 kerusi dipertandingkan di enam negeri dengan tiga gabungan - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersaing untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.

Gabungan PH-BN cuba mengukuhkan lagi hubungan mereka dengan kerjasama pada PRN namun berdepan tugas sukar untuk menghalang ‘gelombang hijau’ yang dibawa PN, gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan.

Daripada 570 calon yang bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beberapa pertembungan menjadi tumpuan.

Antara kerusi panas yang menjadi tumpuan:

Sungai Tua, Selangor

Penyandang dan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari bakal berdepan pertembungan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusinya.

Beliau ditentang Hanif Jamaluddin dari PN dan Suman Gopal calon Bebas.

Pada pilihan raya umum 2018, Amirudin berdepan pertembungan empat penjuru dengan BN, PAS dan calon Bebas, menang dengan majoriti 11,374.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata Amirudin akan kekal sebagai menteri besar sekiranya PH-BN berjaya mengekalkan Selangor.

Hulu Kelang, Selangor

Di kerusi Hulu Kelang, bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali akan bersemuka dengan bekas Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli yang juga setiausaha politik kepada Amirudin.

Azmin memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa di bawah tiket PKR pada 2018 dan menyertai Bersatu pada 2020 susulan Langkah Sheraton.

Azmin, Pengerusi PN Selangor yang juga bekas menteri hal ehwal ekonomi kembali aktif berpolitik selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Amirudin di Parlimen Gombak.

Azmin dan Juwairiya kedua-duanya menukar kawasan DUN ditandingi untuk pilihan raya negeri kali ini.

Batu Tiga, Selangor

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Rina Harun bakal berdepan pertembungan tiga penjuru bagi kerusi DUN Batu Tiga.

Bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu akan bertembung dengan Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Ad Rashid dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen dari Muda.

Rina yang bertanding bagi kerusi Parlimen Sepang pada PRU15 lalu tewas kepada Aiman ​​Athirah Sabu dari Amanah dengan hampir 9,000 undi.

Permatang, Selangor

Anak perempuan bekas orang kuat Umno Noh Omar, Nurul Syazwani Noh akan menentang Pengarah Pilihan Raya Selangor Mohd Yahya Sahri.

Mohd Yahya dicalonkan bagi menggantikan penyandang Rozana Zainal Abidin manakala Nurul Syazwani membuat penampilan sulungnya pada pilihan raya.

Nurul Syazwani mendapat sokongan bapanya yang merupakan bekas ahli Parlimen Tanjong Karang dan pengerusi Umno Selangor.

Kerusi Permatang terletak di bawah kawasan Parlimen Tanjong Karang yang dilihat memberi kelebihan kepada Nurul Syazwani.

Mohd Yahya merupakan bekas timbalan setiausaha agung PKR dan pegawai khas kepada Allahyarham menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan pada 2016 kerana menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd Abdul Karim Munisar .

Ia merupakan kerusi tradisi BN sejak diwujudkan di mana gabungan itu menang semua pilihan raya kecuali pada 2018 yang dimenangi PH dengan majoriti 1,158 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Sikamat, Negeri Sembilan

Penyandangnya Aminuddin Harun akan berdepan saingan empat penjuru untuk kerusi DUN Sikamat yang dimenangi sejak 2008.

Menteri besar sementara Negeri Sembilan itu akan melawan calon PN Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharuddin.

Aminuddin yang juga ahli Parlimen Port Dickson bersaing untuk merebut kerusi itu bagi penggal keempatnya.

Pada 2018, naib presiden PKR itu menang kerusi DUN Sekamat dengan majoriti 3,413 undi.

Rantau, Negeri Sembilan

Nama besar lain yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan yang akan mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Menteri pertahanan yang dinamakan untuk bertanding di Rantau untuk penggal keenam berturut-turut itu akan menentang calon PN dari PAS Rozmal Malakan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat memenangi Pilihan Raya Kecil Rantau pada 2019 dengan kira-kira 4,000 majoriti menewaskan Streram Sinnasamy dari PH.

Timbalan presiden Umno itu memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR.

Mahkamah pilihan raya kemudiannya mengisytiharkan kemenangan itu terbatal dan tidak sah yang membawa kepada pilihan raya kecil.

Pada PRU15, Mohamad menjadi ahli Parlimen Rembau memenangi kerusi Parlimen dalam percubaan pertamanya. – 30 Julai, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen