Kerajaan Selangor perlu bersiap hadapi serangan Perikatan, kata Santiago


Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Selangor di bawah teraju Menteri Besar Amirudin Shari dijangka berdepan cabaran hebat pembangkang Perikatan Nasional sepanjang penggal pentadbiran ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2023.

KERAJAAN Pakatan Harapan di Selangor yang baru ditubuhkan perlu bersiap sedia dengan masa mencabar sepanjang lima tahun pemerintahannya disebabkan kehadiran pembangkang yang kuat di negeri itu, kata Charles Santiago.

Bekas wakil DAP untuk Parlimen Klang itu berkata penting untuk kerajaan negeri mempersiapkan saluran komunikasi bersesuaian yang berkesan bagi memerangi serangan Perikatan Nasional.

Santiago turut menggesa kerajaan negeri melantik speaker DUN yang cekap dan berkesan bagi mengawal persidangan dewan.

Pada PRN lepas, PN menang 22 kerusi DUN seterusnya melemahkan kedudukan PH-Barisan Nasional dalam dewan yang mempunyai 56 kerusi itu.

Antara pemenang yang perlu diberikan perhatian adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang dijangka akan menjadi ketua pembangkang.

Menurut Santiago, Azmin selaku bekas menteri besar Selangor dan bekas menteri di Putrajaya adalah politikus berpengalaman.

Azmin adalah Adun di Selangor selama 5 penggal iaitu dua penggal di kerusinya sekarang, Hulu Kelang, dan tiga penggal di DUN Bukit Antarabangsa. Beliau juga adalah ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal.

“Selain itu, Azmin pernah berada dalam Jemaah Menteri sebelum ini,” katanya dipetik portal Free Malaysia Today.

Seorang lagi politikus berpengalaman dalam PN adalah Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin, tambahnya. Afif adalah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan berpengalaman sebagai exco kerajaan negeri.

“Bagi pihak kerajaan pula, selain Menteri Besar Amirudin Shari, seorang lagi pemimpin berpengalaman dari DAP Ng Sze Han yang menjadi exco bagi penggal kedua. Kebanyakan daripada mereka yang lain adalah orang muda dan kurang berpengalaman.

“Pertembungan antara kerajaan negeri dan PN akan berlaku terutama di TikTok. Itulah sebabnya kenapa pasukan komunikasi dan pakar sosial media mesti dibentuk,” katanya. – 27 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen