Azmin ramal DUN Selangor bubar 19 Jun


Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali yakin gabungannya akan dapat merebut negeri itu daripada PH pada PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor berkemungkinan besar akan dibubarkan pada 19 Jun untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Mohamed Azmin Ali.

Memasuki mod pilihan raya penuh, bekas menteri besar Selangor itu juga mendakwa PN akan dapat merebut negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Tidak perlu tunggu (Menteri Besar Selangor) Amirudin (Shari) mengumumkannya, biar saya umumkan sekarang,” katanya ketika mengumumkan pembubaran 19 Jun.

“Kalau PRN diumumkan (diadakan) awal atau pertengahan Ogos, insya-Allah, dengan izin Allah, PN akan bentuk kerajaan baru di Selangor,” kata Azmin ketika berucap pada program kempen PN di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.

Sebelum ini, Amirudin berkata beliau akan bertemu Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu ketiga Jun ini bagi memohon pembubaran DUN.

DUN Selangor ditetapkan bubar secara automatik pada 25 Jun ini.

Selain Selangor, lima negeri lain juga akan mengadakan pilihan raya pada Julai atau September. Ia adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pertarungan utama adalah antara PN dengan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

Azmin memberitahu orang ramai yang PRN akan datang adalah referendum terhadap kerajaan perpaduan persekutuan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Anwar gagal menunaikan banyak janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum lalu untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

“Beliau kini menjadi perdana menteri dan telah membentuk kerajaan. Tetapi harga petrol tidak turun,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

“Masalah melibatkan inflasi, kos sara hidup, kejatuhan ringgit, kenaikan kadar dasar semalaman dan ekonomi masih belum selesai.

“Jika kita lihat apa yang pakar ekonomi (katakan), secara bertulis, terdapat dua faktor yang menyebabkan kenaikan kadar inflasi dan kejatuhan ringgit.

“Pertama, tiada dasar ekonomi yang komprehensif dan kedua, menteri ekonomi dan kerajaan mempunyai kepimpinan ekonomi dan kewangan yang lemah.

“Maka saya kata ini adalah kerajaan gagal,” kata Azmin. – 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen