Azmin intai kerusi Morib pada pilihan raya negeri, kata laporan 


Menurut sumber Bersatu, Azmin Ali bersedia untuk berpindah dari Bukit Antarabangsa ke kerusi Morib untuk pilihan raya negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2023.

PEMIMPIN Bersatu Azmin Ali bersedia untuk berpindah dari Bukit Antarabangsa ke kerusi Morib pada pilihan raya negeri Selangor akan datang, lapor FreeMalaysiaToday.

Portal berita itu, yang memetik sumber Bersatu, berkata Azmin bersedia untuk berpindah bagi mencari kerusi selamat.

“Memang ada rancangan letak Azmin di Morib tetapi keputusan akhir pucuk pimpinan yang tentukan,” sumber itu dipetik sebagai berkata.

Sumber itu juga berkata terdapat beberapa kerusi selamat lain untuk Azmin pertimbangkan tetapi nampaknya dia akan berpindah ke Morib.

Morib ialah kerusi di bawah kawasan Parlimen Kuala Langat.

Pada pilihan raya umum ke-15 November lalu, calon PAS Dr Ahmad Yunus Hairi memenangi kerusi Kuala Langat dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Ahmad Yunus juga merupakan Adun Sijangkang dan dijangka bertanding semula pada pilihan raya negeri akan datang.

Azmin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum, menyebabkan partinya mencari kerusi selamat untuknya dalam pilihan raya negeri.

Beliau tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan dengan kira-kira 13,000 undi.

Kekalahannya dilihat sebahagian besarnya sebagai penolakan pengundi terhadapnya kerana berpaling tadah daripada PKR kepada Bersatu dan kerana menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH pada 2020.

Azmin telah menjadi wakil rakyat Bukit Antarabangsa selama 15 tahun.

Kerusi DUN Bukit Antarabangsa terletak dalam kawasan Parlimen Ampang, satu lagi kerusi persekutuan yang dimenangi besar oleh PH pada PRU15.

Azmin, yang juga bekas timbalan presiden PKR, merupakan MB Selangor dari 2014 hingga 2018. – 21 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen