Juwairiya yakin mampu tewaskan Azmin di Hulu Kelang


Noel Achariam

Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli bertembung satu lawan satu dengan bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional bagi merebut kerusi DUN Hulu Kelang pada PRN Selangor 12 Ogos ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Ogos 2023.

JUWAIRIYA Zulkifli yakin faktor beliau anak jati Hulu Kelang memberi kelebihan untuk calon Pakatan Harapan (PH) itu memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor minggu depan.

Timbalan ketua Wanita PKR itu dicabar Mohamed Azmin Ali mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, 12 Ogos ini.

Juwairiya yang dibesarkan di Lembah Keramat dan menamatkan pendidikan di Sekolah Menengah Taman Permata berkata, sebagai anak tempatan beliau tahu apa yang diperlukan penduduk setempat dan mampu menyelesaikan masalah mereka.

Wanita berusia 38 tahun itu menambah setakat ini beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk mendekati masyarakat di kawasan Hulu Kelang berdasarkan maklum balas positif yang diterima sepanjang kempen PRN.

“Melalui aktiviti jelajah mesra saya berpeluang menyantuni penduduk termasuk bekas jiran, kawan-kawan lama dan guru.

“Walaupun sebahagian mereka adalah penyokong Perikatan Nasional, saya disambut dengan baik. Mereka juga gembira saya terpilih untuk bertanding di sini.

“Saya harap diberi peluang untuk jadi wakil rakyat mereka,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insight.

Calon Pakatan Harapan Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk mendekati masyarakat di kawasan Hulu Kelang berdasarkan maklum balas positif yang diterima sepanjang kempen PRN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Ogos 2023.

Menurut Juwairiya, sebahagian besar pengundi di DUN Hulu Kelang adalah golongan wanita dan belia.

“Hulu Kelang kebanyakannya adalah kawasan bandar, di mana kira-kira 49% pengundi adalah wanita manakala 48% daripada 71,000 pengundi di sini adalah anak muda.

“Fokus saya adalah pembangunan wanita dan anak muda, juga pada masa yang sama menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di sini,” ujarnya.

Kata Juwairiya, antara isu yang paling banyak dibangkitkan adalah jalan raya khususnya di kawasan AU1 hingga ke AU5 di Keramat yang perlu dibaik pulih. Jalan raya itu rosak ekoran pembinaan rangkaian paip pembetungan, iaitu di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim , jelasnya.

“Saya dah bercakap dengan menteri (Nik Nazmi Nik Ahmad) dan beliau beri jaminan isu ini boleh diselesaikan.

“Jalan-jalan ini tak berturap hampir lapan tahun. Ini kawasan majoriti Melayu dan mereka kecewa dengan masalah ini. Jadi ini salah satu fokus utama saya,” kata beliau.

Manakala bagi anak muda di Hulu Kelang, beliau berkata golongan ini memerlukan pusat pembangunan  serta kemudahan sukan dan riadah.

“Untuk wanita dan ibu tunggal pula saya ingin beri bantuan guaman percuma berkait isu seperti perceraian dan nafkah anak.”

Tidak gentar lawan Azmin

Ditanya mengenai pesaingnya Azmin yang mewakili PN bagi merebut kerusi DUN Hulu Kelang pada PRN Selangor minggu depan, Juwairiya mengakui sumbangan bekas menter besar Selangor itu selama tiga penggal menjadi ahli Parlimen Gombak.

Azmin juga pernah jadi Adun Hulu Klang selama sepenggal selepas memang pada pilihan raya umum (PRU) 1999 sebelum pindah ke DUN Bukit Antarabangsa pada PRU 2008.

“Kita hormat sumbangan dan jasa beliau, namun dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku, dan ini terbukti apabila kalau dulu kami satu pasukan kini berlainan pasukan dan saya terpaksa berdepan dengan beliau.

“Saya ambil ini sebagai satu cabaran dan amanah yang besar tetapi saya tidak gentar dan yakin boleh mengharunginya kerana saya mempunyai sistem sokongan yang kuat di kawasan Hulu Kelang ini.

“Kita mempunyai jentera PKR yang mantap di bawah Cabang Gombak iaitu ketuanya sendiri adalah Menteri Besar (Amiruddin Shari) yang juga ahli Parlimen Gombak serta kerjasama yang kuat daripada rakan sekutu kita Barisan Nasional,” jelasnya.

Beliau selain itu yakin PN tidak akan berjaya merampas Selangor daripada PH.

“Berdasarkan dapatan kajian kami, PH mungkin akan hilang beberapa kerusi. Namun kami percaya akan mengekalkan majoriti di kawasan tertentu, terutamanya apabila PH dan BN saling bekerjasama.

“Kami sasar untuk menang 42 hingga 45 kerusi berdasarkan kajian dan sentimen semasa,” kata Juwairiya. – 6 Ogos 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen