Azmin mahu tunjuk masih relevan di Gombak


Mohd Farhan Darwis Nabihah Hamid

Azmin Ali kini menawarkan diri bertanding di Hulu Kelang dalam PRN yang merupakan salah satu daripada kerusi DUN dalam Gombak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2023.

GOMBAK menjadi tumpuan dalam PRN kali ini ekoran kempen bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah berusaha menunjukkan mereka masih mendapat sokongan di kerusi negeri di situ.

Perhatian tertumpu pada bekas ahli Parlimen kawasan itu, Azmin Ali yang kini menawarkan diri bertanding di Hulu Kelang, salah satu daripada kerusi DUN dalam Gombak.

Bekas menteri kanan itu sudahpun gagal mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya selama tiga penggal apabila ditolak pengundi dalam PRU15.

Bekas menteri besar Selangor itu berpaling tadah daripada PKR dan menyertai Bersatu selepas PRU14, yang menyebabkan gabungan kerajaan PH tumbang pada 2020.

Dalam PRU tahun lalu, Azmin yang bertanding atas tiket PN meraih lebih 59,500 undi berbanding anak didiknya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang memperolehi lebih 72,200 undi.

Kalu ini, Azmin menentang seorang lagi anak muridnya dari PH, Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli di DUN Hulu Kelang.

Kerusi itu kini menghimpun paling banyak pengundi Melayu daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Selangor iaitu sekitar 86.90% daripada keseluruhan pengundi di kawasan tersebut.

Kerusi itu menyaksikan titik mula Azmin menceburkan diri dalam pilihan raya dan memenanginya pertama kali 24 tahun lalu dalam PRU10 pada 1999.

Beliau kemudian berpindah ke DUN Bukit Antarabangsa pada penggal berikutnya, dan berjaya mengekalkan kedudukan di situ selama tiga penggal atas tiket PKR.

PN menggantikan Azmin dengan peguam, Shasha Lyna Abdul Latiff, di Bukit Antarabangsa pada kali ini. Shasha juga tewas dalam PRU15 ketika bertanding di kerusi Parlimen Ampang.

Azmin menganggap Hulu Kelang sebagai kampung halaman keluarganya dengan menyebut dirinya sebagai anak jati Kampung Klang Gate, salah satu kawasan di dalam kawasan DUN itu.

Selepas namanya disahkan sebagai calon pada Sabtu lalu, Azmin menyebut beliau reda dengan keputusan dan sedia memperbaiki kelemahannya.

Azmin menegaskan beliau tidak pernah lari dari Gombak, sebaliknya bertanding di Hulu Kelang ibarat kembali kepada akar umbinya keluarga dan saudara-maranya.

“Namun di Hulu Kelang, saya telah diberikan mandat dalam politik seawal tahun 1999 ketika dipilih menjadi ahli Parlimen Gombak, DUN Hulu Kelang dalam Parlimen Gombak.

“Jadi tidak timbul soal lari seperti didakwa oleh musuh-musuh politik saya,” kata Azmin.

Lawannya Juawairiyah turut berpindah dari DUN Bukit Melawati, dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor.

Hulu Kelang dikuasasi Amanah sejak 2008 melalui timbalan pengerusi parti itu bagi negeri Selangor, Saari Sungib, namun diserahkan kepada PKR untuk PRN kali ini.

Saari tidak bertanding kali ini atas faktor kesihatan. Beliau menang dengan majoriti lebih 15,300 undi dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Penganalisis politik dari Ilham Centre Hisomuddin Bakar berpendapat tumpuan pengundi Melayu yang ramai membuatkan Azmin melihat PN mempunyai peluang di kerusi tersebut.

Keputusan itu juga disebabkan data PRU15 menunjukkan Azmin meraih undi kedua paling besar di kawasan itu berbanding DUN lain di Gombak, katanya.

Undi paling besar diraih Azmin di DUN Gombak Setia dengan lebih 25,000 undi. Kerusi tersebut ditandingi bagi PN oleh anak buahnya Hilman Idham, yang memenanginya sewaktu masih dalam PKR dalam PRU14.

“Keyakinan Azmin memilih Hulu Kelang sebagai DUN pilihan merujuk data ketika bertanding Parlimen pada PRU15 mencatatkan undi antara tertinggi dicatatkan daripada tiga DUN.

“Oleh kerana majoriti tinggi, dan sekiranya ikut pola pengundian, pengundi Melayu keluar mengundi adalah tinggi manakala pengundi bukan Melayu tiada keterujaan tinggi untuk keluar, maka ia dilihat kerusi boleh menang buat beliau,” katanya.

Malah, pengundi PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Azmin dan tidak ada masalah berlaku perpindahan undi secara penuh kepada Azmin di Hulu Kelang, pada PRN kali ini, katanya.

“Kalau ikut di situ saya boleh sifatkan PN ada kelebihan dengan sokongan pengundi PAS yang dianggap solid dan beliau mendapatkan peratusan cukup untuk melepasi garis kemenangan di Hulu Kelang.

“Ini akan menguji juga sejauh mana pengundi BN boleh memindahkan sokongan kepada calon PH Juwairiyah.

“Kalau peratusan keluar pengundi BN rendah, mereka tidak keluar dan peratusan perpindahan tak besar, itu akan melihatkan kelebihan buat Azmin di Hulu Kelang,” kata Hisomuddin.

Kalangan pemilih pula tertarik untuk memilih Azmin kerana menolak kerjasama Umno dengan DAP dalam kerajaan perpaduan pada waktu ini.

Seorang pengundi BN, Habsah Ahmad berkata beliau akan memilih Azmin berbanding Juwairiyah kerana DAP berseteru dengan parti sokongannya sejak sekian lama.

“Makcik memang akan pilih Azmin. Lagipun bukan calon BN yang ada dekat DUN sini. Makcik rasa Umno dah menyimpang dari landasan bila bersama DAP. Kita nak utamakan perjuangan Melayu.

“Saya pilih Azmin sebab tak nak sokong Pakatan. Saya lihat PN yang sekarang bawa isu nak jaga Melayu,” katanya yang mengundi BN dalam PRU15 lalu.

Data kutipan undi di DUN pada PRU15 menunjukkan Amirudin yang menjadi calon PH di Parlimen Gombak ketika itu menerima kira-kira 22,900 undi.

Angka itu setara 40.85% daripada keseluruhan 56,044 pengundi yang mengundi, manakala Azmin yang mewakili PN pula waktu itu mendapat 20,844 undi atau 37.19% di kawasan Hulu Kelang.

Hulu Kelang mempunyai seramai 71,141 pengundi berdaftar pada PRU15. Seramai lebih 15,000 pengundi DUN tersebut tidak keluar mengundi pada PRU15. – 2 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen