Operasi beras putih tempatan pastikan nasib petani terbela


Kerajaan melaksanakan OP BPT bermula 16 Ogos lalu bagi membanteras penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras putih tempatan kepada beras putih import. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos 2023.

OPERASI Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dilaksanakan kerajaan bagi membanteras penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI), dilihat dapat memastikan rakyat tidak tertipu dan hanya membayar pada harga sepatutnya.

Menyifatkan langkah berkenaan sebagai strategi ‘serampang dua mata’, golongan petani dan persatuan pesawah di negeri ini dalam masa sama melihat langkah baik kerajaan itu sebagai pembelaan kepada kebajikan mereka daripada ditipu pemborong.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) Abdul Rashid Yob berkata isu penipuan berkaitan pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit BPT kepada kampit BPI dan menjualnya pada harga jualan runcit BPI sudah lama berlaku.

“Sekiranya ia tidak didedahkan di mana-mana laman media sosial, sudah pasti tiada tindakan yang diambil dan ini boleh menyebabkan pengguna tertipu selain turut mendatangkan kesan kepada golongan petani.

“Percampuran beras BPT dan BPI ini telah lama dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab… cuma, akhir-akhir ini apabila berlaku kenaikan harga beras dunia, import telah berkurangan dan itu menyebabkan penipuan ini semakin menjadi-menjadi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Rashid turut menggesa supaya kekerapan operasi penguatkuasaan digandakan agar isu tersebut dapat ditangani dengan tuntas, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.

Mengenai harga siling BPT, beliau mencadangkan agar ia dikaji semula memandangkan berlaku kenaikan harga beras dunia serta kos-kos terlibat yang memberi kesan kepada semua peringkat rantaian bekalan.

“Selain itu, harga BPT dan BPI juga perlu disatukan dengan harga ideal agar memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak,” katanya dan menambah harga siling BPT ialah RM2.60 sekilogram.

Mohammad Hafidz Ismail, 39, dari Kampung Teluk Tawar di Yan, yang mengusahakan tanaman padi sejak 12 tahun lepas berkata penguat kuasa juga perlu melakukan pemeriksaan di premis kedai dan pintu sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyelewengan.

“ Apabila operasi ini dilaksanakan, hasil dan keuntungan itu sudah pastinya akan kembali kepada rakyat dan juga golongan petani.

“Jadi, sekiranya benar berlaku ketirisan di mana-mana, ia perlu diambil tindakan tegas dengan secepat mungkin,” katanya.

Ahmad Bakar, 71, dari Alor Setar, yang telah lebih 30 tahun mengusahakan tanaman padi berkata operasi sedemikian sudah pastinya dapat membantu rakyat termasuk di negeri ini yang kebanyakannya bekerja sebagai petani.

“Kedah pengeluar utama padi negara, sekiranya isu penipuan ini tidak dikekang dari sekarang, kita bimbang generasi muda tidak mahu meneruskan legasi mengusahakan tanaman padi ini.

“Boleh jadi mereka rasa membazir masa kerana akhirnya mereka ditipu dan tidak mendapat sebarang pembelaan atas usaha keras mereka. Ini yang membimbangkan,” katanya.

OP BPT yang bermula pada 16 Ogos lepas memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap kilang padi komersial dan pemborong beras, bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.

Penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan perihal kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta 522.

Individu yang terlibat pula boleh didenda hingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda hingga RM50,000 jika sabit kesalahan. – Bernama, 23 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen