CHINA pada Jumaat menguatkuasa larangan mengimport produk makanan dari Jepun, terutamanya berasaskan makanan laut ketika Tokyo meneruskan rancangan untuk mengalirkan air terawat daripada loji nuklear Fukushima ke laut, lapor akhbar Global Times.
Beijing melarang import makanan dari 10 wilayah di Jepun termasuk Fukushima, menurut Pentadbiran Am Kastam China.
Langkah itu bertujuan untuk menghalang pengimportan “makanan tercemar radioaktif” dari Jepun dan memastikan keselamatan makanan untuk rakyat China, lapor Agensi Anadolu memetik akhbar itu.
Langkah Beijing dibuat selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menyatakan pelepasan air dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima tidak akan memberi kesan “ketara” kepada manusia dan alam sekitar.
Sementara itu, pihak kastam menjelaskan import makanan terutama berkaitan produk akuatik dari kawasan lain di Jepun, “kami akan mengkaji semula dengan teliti dokumen pengesahan, memperkuatkan pengawasan, melaksanakan pemeriksaan 100% dengan ketat, dan terus meningkatkan pemantauan bagi mengesan bahan radioaktif.”
Jepun merancang untuk mengalirkan air radioaktif terawat pada musim panas ini. – Bernama, 8 Julai, 2023.
Komen