Petani Cameron ancam pindah loji pembungkusan susulan larangan trak


Angie Tan

Petani berang kerana mereka tidak dibawa berbincang oleh pihak berkuasa mengenai larangan menggunakan laluan utama pada masa tertentu demi kepentingan pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2023.

PETANI sayur-sayuran di Cameron Highlands mengancam untuk memindahkan kilang pembungkusan mereka ke tempat lain selepas negeri itu memutuskan untuk melarang trak dan kenderaan berat daripada menggunakan lebuh raya persekutuan FT59 pada Jumaat, hujung minggu dan cuti umum apabila jalan itu dipenuhi kenderaan pelancong.

Petani berasakan negeri itu lebih mengutamakan pelancongan berbanding perniagaan mereka kerana larangan itu bermakna mengangkut sayur-sayuran tidak boleh dilakukan antara jam 10 pagi dan 3 petang pada hari berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Peladang Cina Cameron Highlands, Cheng Nan Hong berkata pemindahan loji dari Kampung Raja, Tanah Rata akan menjadi “langkah terakhir”.

Cheng mengakui keputusan itu sukar dan ia boleh meningkatkan kos tetapi larangan itu menyebabkan petani di tanah tinggi mengalami kerugian besar kerana mereka tidak dapat memindahkan sayur-sayuran ke pasar.

Petani dilaporkan masih boleh membawa sayur-sayuran mereka ke pasar di tanah pamah tetapi mereka perlu melalui jalan yang kurang dilalui oleh pelancong - satu lencongan yang akan menambah dua jam atau lebih berbanding masa perjalanan biasa mereka.

Petani dan enam pertubuhan pertanian utama di kawasan tanah tinggi itu berang selepas perbincangan yang berlarutan mengenai larangan itu tidak menyebelahi mereka.

Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands pada 16 Jun mengumumkan keputusan exco kerajaan negeri untuk melaksanakan larangan itu melalui laman Facebook.

Peraturan itu diluluskan exco kerajaan negeri tahun lalu bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di tanah tinggi yang popular dengan pelancong.

Enam pertubuhan itu - Persatuan Peladang Sayur Cameron, Persatuan Penanam Bunga Cameron Highlands, Persatuan Peladang Cina Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Kecil India Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands dan Persatuan Pemilik Lori Sayur Cameron - minggu lalu menandatangani memorandum bersama untuk merayu kepada kerajaan Pahang menyemak semula dan menarik balik larangan itu.

Kerajaan negeri sebaliknya memilih untuk menumpukan kepada industri pelancongan.

Petani masih boleh membawa sayur-sayuran mereka ke pasar di tanah pamah tetapi mereka perlu melalui jalan yang kurang dilalui oleh pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2023.

Cheng berkata, kemarahan petani mencapai tahap maksimum kerana larangan itu menghalang mereka menggunakan satu daripada jalan yang perlu mereka lalui.

“Setiap orang marah. Hujung minggu selalunya masa yang amat sibuk bagi kami kerana kami dibanjiri dengan pesanan bagi pasar hujung minggu.

“Kini larangan ini menyukarkan kami untuk membuat penghantaran.”

Cheng menuduh kerajaan negeri gagal menangani kesesakan lalu lintas secara aktif.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas bukan berpunca daripada lori sayur di jalan raya.

“Oleh itu, melarang kami daripada menggunakan jalan raya bukanlah penyelesaian kepada kesesakan.”

Beliau berkata kerajaan negeri sebaliknya perlu melihat dengan baik rancangan pembangunan jalan rayanya.

Setiausaha Agung Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong turut menuduh kerajaan Pahang melaksanakan larangan itu secara tergesa-gesa.

Chay, jurucakap enam organisasi pertanian utama berkata, kerajaan negeri memutuskan larangan itu tanpa merujuk mereka sebagai pihak berkepentingan.

“Mereka tidak pernah memanggil pendengaran awam dan mereka juga tidak berunding dengan kami,” tegas Chay. – 29 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen