27 maut, lebih 100 cedera pertempuran di Tripoli


Pertempuran ganas meletus di Tripoli pada Isnin antara Briged 444 dan Pasukan Pencegahan Khas berikutan penahanan komander 444 Briged. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2023.

JABATAN Kecemasan Kementerian Kesihatan Libya pada Selasa memaklumkan 27 orang terbunuh manakala lebih 100 cedera dalam pertempuran yang meletus di Tripoli malam Isnin, lapor Xinhua.

Jabatan itu memaklumkan lebih 234 keluarga dipindahkan dari kawasan bergolak di Tripoli dan tiga hospital medan ditubuhkan untuk merawat mangsa yang cedera.

Pertempuran ganas meletus di Tripoli pada Isnin antara Briged 444 dan Pasukan Pencegahan Khas berikutan penahanan komander 444 Briged.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, pertempuran dihentikan pada Selasa apabila puak yang bertelagah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata “dengan usaha  perdana menteri dan golongan berpengaruh Tripoli”.

Perdana Menteri Libya Abdul-Hamed Dbeibah mengeluarkan arahan untuk membayar pampasan kepada orang awam bagi harta benda yang rosak.

Libya menyaksikan keganasan dan ketidakstabilan sejak kejatuhan pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011. – Bernama, 16 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen