TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada Isnin berkata lebih 115,000 pelajar telah tercicir dari sistem pendidikan di dalam dan sekitar ibu kota Libya akibat konflik bersenjata yang sedang berlaku di kawasan itu, lapor agensi berita China Xinhua.
“Peningkatan keganasan baru-baru ini di dalam dan sekitar Tripoli telah mendatangkan kesan buruk terhadap pendidikan kanak-kanak dengan lima sekolah musnah manakala 210 lagi terpaksa ditutup, menyebabkan lebih 115,000 pelajar tidak bersekolah di kawasan-kawasan Ain-Zara, Abu Salim dan Soug al Juma’aa,” menurut Unicef dalam satu kenyataan.
“Serangan ke atas kemudahan pendidikan baru-baru ini serta ketidaktenteraman keseluruhan di dalam dan sekitar Tripoli kini meletakkan nyawa kanak-kanak dalam bahaya dengan hanya ke sekolah setiap hari,” katanya.
Sehubungan itu, Unicef menyeru agar pihak-pihak yang bertelagah di Libya “melindungi kanak-kanak pada setiap masa, menghentikan serangan ke atas sekolah dan tidak melakukan keganasan termasuk serangan sembarangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam.”
Sejak awal April 2019, tentera Libya yang berpangkalan di timur telah memimpin kempen ketenteraan di dalam dan sekitar Tripoli dalam usaha mengambil alih bandar itu serta menggulingkan kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beribu-ribu orang terbunuh dan cedera dalam pertempuran itu manakala lebih 120,000 orang awam meninggalkan rumah mereka kerana melarikan diri daripada keganasan. – Bernama, 7 Januari, 2020.
Komen