115 cedera dalam tunjuk perasaan di Lubnan


Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda, yang melemparkan batu ke arah polis di Tripoli pada Khamis. – Gambar EPA, 29 Januari, 2021.

SEKURANG-kurangnya 115 orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan pada Khamis di daerah Tripoli di utara ibu kota Lubnan, Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar Tripoli pada sebelah petang dan berarak ke pejabat gabenor di dataran Sahet Al Nour.

Pasukan keselamatan yang dikerahkan di sekitar pejabat gabenor menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda, yang bertindak melemparkan batu ke arah polis.

Penunjuk perasaan yang kecewa dengan krisis ekonomi dan pengangguran negara, bertindak membakar beberapa tong sampah.

Pertempuran berlanjutan di Sahet Al Nour dan jalan-jalan berhampiran manakala Dewan Bandaraya Tripoli dibakar.

Sekumpulan orang di Abdul Hamid Karami Square di Tripoli menyalakan api dengan melemparkan bom botol ke dewan perbandaran, menurut media tempatan.

Bangunan itu rosak dan sebahagian besar dokumen di dalamnya terbakar, namun tiada korban dilaporkan.

Menurut Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Lubnan di media sosial, kebakaran turut berlaku di Mahkamah Syariah Sunnah di bangunan kerajaan apabila penunjuk perasaan melempar koktel molotov.bom botol.

Pasukan Palang Merah Lubnan berkata enam orang dibawa ke hospital dan 106  yang lain dirawat di lokasi kejadian.

Selain itu, tunjuk penunjuk perasaan turut diadakan di selatan bandar Sidon dan timur wilayah Baalbek.

Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan tiga penunjuk perasaan yang cuba membuat sekatan jalan di Baalbek dimasukkan ke hospital selepas terbabait nahas jalan raya. Kerajaan Lubnan telah mengumumkan  melanjutkan perintah berkurung di seluruh negara sehingga 8 Februari sebagai satu daripada langkah pencegahan penularan Covid-19. – Bernama, 29 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen