LEBIH 80 orang cedera pada malam ketiga pertempuran antara warga Tripoli, Lubnan dengan anggota pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan membantah perintah berkurung koronavirus dan krisis ekonomi.
Penunjuk perasaan bertindak membaling bom petrol dan batu ke arah anggota pasukan keselamatan yang membalas dengan gas pemedih mata, kata koresponden AFP.
Menurut Palang Merah Lubnan sekurang-kurangnya 82 orang cedera pada malam itu, termasuk 15 lagi dikejarkan ke hospital. Pasukan keselamatan melaporkan sembilan anggota mereka cedera.
“Kami menuntut bekalan makanan. Rakyat lapar,” kata salah seorang penunjuk perasaan Mohammad Ezzedine, 20.
“Tiba masanya rakyat bangkit ke jalan raya.”
Tripoli yang merupakan kawasan termiskin di Lubnan sebelum pandemik bertambah buruk apabila berdepan dengan krisis ekonomi.
Kebanyakan enduduknya hilang pendapatan sejak Lubnan mengenakan perintah berkurung awal bulan ini dalam usaha untuk mengekang penularan kes Covid-19.
Dalam tempoh perintah berkurung di seluruh negara itu, pembelian barangan keperluan hanya terhad untuk penghantaran ke rumah sahaja yang mana ia tidak ada di kawasan miskin.
Pihak berkuasa melanjutkan perintah berkurung selama dua minggu hingga 8 Februari depan.
Penunjuk perasaan cuba untuk memecah masuk ke bangunan kerajaan, manakala ada kumpulan yang berhimpun di Dataran Al-Nour di tengah bandaraya itu.
Bunyi tembakan jelas kedengaran di kawasan terlibat, kata koresponden AFP, manakala penunjuk perasaan turut bertindak membakar pintu masuk bangunan pejabat polis.
“Kami membuat keputusan untuk meneruskan tindakan ini walau apa pun yang berlaku..kerana kami sudah tiada apa-apa,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 25 tahun.
“Kami hidup dalam keadaan yang teruk. Telah banyak tempat saya minta kerja tapi tak dapat,” katanya. – AFP, 28 Januari, 2021.
Komen